Friday 7 September 2018

PERNIAGAAN MEMBAWA KEBERKATAN HIDUP


Perniagaan dikategori di bawah kaedah fikah muamalat. Seperti juga urusan lain, perniagaan terikat kepada peraturan yang ketat untuk memastikan ia membawa kebaikan dan mengelak berlaku penindasan dan penipuan. Islam menetapkan garis panduan berkaitan perniagaan halal dan haram.

Perniagaan merujuk kepada pertukaran manfaat antara dua atau lebih pihak dalam sesuatu urusniaga. Pertukaran itu mungkin dalam bentuk wang dengan barang, perkhidmatan fizikal (pengangkutan, hotel dan sebagainya) dan perkhidmatan kepakaran (peguam, kaunselor, doktor dan sebagainya). Wujud juga pertukaran wang dengan wang dan barang dengan barang.

Konsep perniagaan yang berteraskan Islam akan membentuk prinsip keadilan serta nilai-nilai murni yang positif. Peniaga dan pembeli mesti berpegang kepada konsep mencari kebaikan di dunia dan akhirat dalam urusniaga yang terlibat.   

Kejujuran amat penting bagi mengelak berlaku penindasan. Islam menolak sistem yang membenarkan peniaga memperoleh keuntungan berlebihan yang nyata memberi keburukan kepada pengguna seperti yang diamalkan dalam sistem ekonomi kapitalis.  

Dalam al-Quran diceritakan mengenai Nabi Syuaib menasihatkan kaum peniaga di Madyan yang gemar menindas melalui penipuan dalam berjual beli.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti yang nyata daripada Tuhanmu. Lalu sempurnakanlah takaran dan timbangan dan jangan kamu kurangi barang-barang takaran dan timbagan bagi manusia.” (Surah al-Araaf, ayat 85).
 
Peniaga mengharapkan keuntungan kerana telah memperuntukan modal, kepakaran, fikiran, tenaga dan masa untuk tujuan itu. Namun ia perlu mengikut landasan yang adil dan tidak bercanggah dengan syariat.

Sesungguhnya antara pembeli dan peniaga saling memerlukan. Tiada peniaga tanpa pembeli dan tiada pembeli tanpa peniaga. Justeru, antara kedua-dua pihak perlu saling menghormati, menjaga hubungan baik dan memahami keperluan antara satu sama lain. 

Untuk kedua-dua pihak mendapat kebaikan, urusniaga perlu berjalan dalam suasana harmoni, selesa, selamat, berterusan dan memenuhi keperluan. Sebaliknya, sebarang bentuk kezaliman dan penindasan dalam perniagaan mesti diperangi.    

Dalam ghairah mencari keuntungan inilah wujud peniaga yang tidak amanah. Sikap tamak dan tidak ada kasihan belas menguasai sesetengah peniaga pada musim perayaan. Waktu itu dianggap masa terbaik untuk mengaut sebanyak mungin keuntungan, biarpun dengan cara batil.

Ketika keadaan semakin suntuk, pengguna tidak ada banyak pilihan dan ruang masa. Kesempatan ini diambil oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab untuk menipu an menindas pembeli.  

Perbuatan itu sebenarnya bukan sahaja pengguna menjadi mangsa, bahkan peniaga sendiri terdedah kepada kerugian. Pengguna juga kadangkala bijak menipu peniaga. Banyak peniaga menjalankan sewabeli atau bayar kali menanggung kerugian apabila pembeli tidak melunaskan bayaran biarpun telah mendapat barang atau menggunakan perkhidmatan.    

Etika utama yang patut diamalkan oleh peniaga ialah jujur, amanah dan ikhlas. Mereka adalah sebahagian daripada golongan yang berjihad ke jalan Allah dengan menyediakan keperluan kepada masyarakat. Peniaga sedemikian mendapat keuntungan dari perniagannya di dunia dan akhirat. 

Sabda Nabi Muhammad bermaksud: “Peniaga yang jujur akan bersama-sama para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid.” (Hadis riwayat Hakim dan Tirmizi).

Sebaliknya, terdapat banyak peniaga yang melanggar etika, menjalankan perniagaan yang terkeluar daripada landasan ditetapkan Islam. Apa yang dilakukan mendapat keuntungan secara batil dan dusta.  

Peniaga tidak beretika mengambil peluang mendapat keuntungan lebih tinggi dengan menindas pembeli. Pembeli yang terdesak memerlukan barangan atau perkhidmatan terpaksa membayar lebih biarpun mengetahui harga sepatutnya lebih rendah daripada itu. 

Selain itu banyak barang dan perkhidmatan yang disediakan tidak berkualiti, sedangkan harga yang ditetapkan masih tinggi. Paling malang jika ia melibatkan keselamatan pembeli. Kercunan makanan yang tamat tempoh sering berlaku. Begitu juga dengan peralatan elektrik yang tidak ada pengesahan kualiti oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

Sikap pengguna yang sanggup bertolak ansur dalam perkara ini menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menindas pembeli. Pengguna sepatutnya sanggup untuk memulau peniaga yang tidak jujur. Pendidikan kepenggunaan perlu diterapkan di kalangan anggota masyarakat agar tidak menjadi mangsa peniaga tamak.     

Kenaikan harga terlampau tinggi tanpa alasan munasabah menyalahi kontrak sosial atau hubungan baik antara peniaga dengan pembeli. Peniaga merasakan dirinya berkuasa penuh menentukan apa yang diingini dan menafikan hak pengguna serta hukum agama.   

Dalam istilah perniagaan, sikap peniaga menaikkan harga sesuka hati atau memperdayakan pembeli dengan harga lebih tinggi dipanggil manipulasi harga. Peniaga mewujudkan keadaan cemas pengguna dengan mengurangkan penawaran dengan harapan agar harga meningkat dan pengguna pula sanggup membayarnya.

Keadaan manipulasi harga biasanya berlaku ketika musim perayaan. Ketika itu permintaan meningkat berkaliganda sedangkan penawaran tidak bertambah selari dengan permintaan.  

Keadaan menjadi lebih parah apabila peniaga menyorokkan barang-barang keperluan untuk mengaut keuntungan apabila pengumuman kenaikan harga atau pengguna sanggup membayar lebih.

Ada pihak cuba meraih untung atas angin dengan cara menawarkan perkhidmatan yang sebenarnya tidak wujud. Paling banyak yang menjadi mangsa ialah penumpang bas ekspres. Penumpang menanggung kerugian membayar tiket yang tidak ada perkhidmatan dan tidak dapat pulang ke kampung halaman.

Islam amat menitikberatkan soal manfaat untuk semua. Tidak ada pihak yang boleh menindas mana-mana pihak lain biar dengan apa alasan sekalipun. Keuntungan dunia hanya sementara.

Semakin besar keuntungan yang diperoleh, semakin besar juga sifat tamak di hati para peniaga yang dilalaikan hati mereka daripada mematuhi tuntutan syariat. Mereka bertindak melakukan perbuatan ditegah agama untuk mendapat keuntungan lebih. 

Peniaga berhak menaikkan harga jika kos modal meningkat. Kenaikan itu hendaklah setara dengan kenaikan kos modal. Kos modal barangan bergantung kepada banyak faktor seperti tingkat upah, barang mentah, cukai dan sewa.

Pembeli sudah pasti dapat menerima hakikat dan bersedia membayar lebih bagi mendapatkan barang yang diingini jika mengetahui kenaikan harga itu berpunca kenaikan kos. Malah, pembeli yang terdidik dengan isu kepengunaan memahami mengenai kenaikan indeks harga pengguna atau inflasi yang menyebabkan mereka terpaksa membayar lebih tinggi berbanding biasa.

Sebarang tindakan peniaga yang menyalahi undang-undang perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa. Ini juga termasuk dalam dakwah seruan ‘amar makruf dan nahi mungkar’ untuk kepenting bersama. 

No comments:

Post a Comment