Friday 7 September 2018

TAKWA SENJATA KEKUATAN ISLAM

Islam mahu umatnya hidup selamat, bahagia dan berjaya, di dunia dan akhirat. Justeru, Islam menegah melakukan perbuatan mendatangkan keburukan dalam masyarakat, seperti berprasangka, benci membenci, bermusuhan, irihati dan mencari kesalahan orang lain. 

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu banyak berprasangka, sesungguhnya ia adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain, dan jangan pula sebahagian kamu mengumpat orang lain.” - (Surah al-Hujurat, ayat 12).

Ramai individu Islam hanya Islam pada namanya, tetapi melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kehendak agama. Ini termasuk mencemar nama baik Islam dengan melakukan amalan yang mencetuskan perbalahan serta perpecahan.        

Akibat perlakuan itu, kekuatan ummah di seluruh dunia semakin lemah dan ini memudahkan musuh Islam menindas serta menganiaya mereka. Di sesetengah negara, umat Islam sentiasa diburu, disembelih dan diperlakukan seperti binatang.

Malangnya tidak ada apa yang mampu kita lakukan dalam tempoh terdekat ini untuk membantu saudara seagama di negara lain, khususnya dari segi kekuatan ketenteraan. 

Apa yang mampu dilakukan hanyalah sekadar membuat bantahan ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan negara yang melakukan tindakan itu.

Hakikatnya, nasib umat Islam tidak seburuk sekarang jika seluruh umat Islam bersatu. Bilangan negara dan jumlah umat Islam bukan sedikit. Sekarang ini terdapat 58 buah negara Islam dan umat Islam di seluruh dunia berjumlah 1.6 bilion orang. 

Rasulullah mengingatkan umatnya supaya sentiasa bersatu dan tolong menolong sesama Muslim. Baginda mengumpamakan hubungan sesama Muslim seperti satu badan. Apabila satu bahagian badan merasa sakit, maka kesakitan itu dirasakan seluruh anggota badan.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Perumpamaan kaum Muslim dalam urusan kasih sayang dan tolong menolong bagaikan satu tubuh. Jika satu anggota badan berasa sakit, maka akan menjalarlah penderitaan itu ke seluruh tubuh badan sehingga tidak dapat tidur (berjaga malam) dan berasa deman.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sekiranya seluruh umat Islam bersatu, sudah pasti maruah dan nasib seluruh umat Islam akan terbela. Allah menjanjikan kuasa dan kekuatan kepada hamba-Nya mematuhi perintah-Nya.  

Sebaliknya, kemusnahan dan penderitaan ditanggung jika umat Islam ingkar dan membelakangkan perintah Allah. Malah, kekuasaan dan kekuatan umat Islam akan dipegang oleh pihak lain. Inilah hakikat yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam akibat tidak bersatu dan lebih dalam semua bidang kehidupan.   

Firman Allah bermaksud: “Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi.” - (Surah an-Nur, ayat 55).

Bagi mengatasi kelemahan dialami umat Islam, dua senjata utama perlu digunakan iaitu takwa dan quwwah. Senjata takwa ialah dilahirkan dalam diri yang mentaati perintah dan larangan Allah serta menjaga diri daripada kemurkaan dan azab-Nya. Melalui kekuatan takwa, umat Islam menjadi lebih berkualiti sebagai Muslim dan khalifah di muka bumi. 

Muslim bertakwa melakukan perkara yang baik untuk dirinya, keluarga dan Islam keseluruhannya. Kemelut sosial yang melingkari umat Islam dapat diungkai dengan mudah. Oleh itu, kualiti hidup individu Islam lebih kuat dan mampu bersaing dengan orang lain.

Senjata quwwah pula bererti kekuatan lahiriah seperti kekuatan ilmu pengetahuan, ekonomi, sains, teknologi, politik, ketenteraan, kesihatan, sosial dan sebagainya. 

Senjata kategori ini bukan bermaksud untuk menyerang atau menentang pihak lain, tetapi untuk kebaikan sendiri, dan pada masa yang sama dapat menggerunkan musuh-musuh. Dalam keadaan umat Islam kuat, sudah tentu musuh Islam tidak mampu bertindak sesuka hati seperti yang berlaku sekarang.

Perintah mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan tindakan musuh dijelaskan 

Allah dalam firman-Nya dalam surah al-Anfal ayat 60 bermaksud: “Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala jenis kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahuinya.”

Dalam dunia moden ini tentulah kekuatan menghadapi musuh bukan lagi pasukan berkuda. Sebaliknya, kita memerlukan persenjataan lebih canggih, keteguhan ekonomi dan teknologi yang tinggi. 

Umat Islam perlu bangkit kembali mencipta kegemilangan seperti yang pernah dicapai dahulu. Sejarah menceritakan bahawa kejayaan umat Islam terdahulu adalah hasil penghayatan ajaran Islam yang sebenar. Individu Islam dahulu amat mencintai ilmu, mengamalkan cara hidup sihat, sanggup berkorban untuk agama, tidak mementingkan diri sendiri dan saling menasihati.

Contohnya, ulama dahulu mempertahankan ilmu dan kedudukan tanpa dapat dipengaruhi pihak lain. Mereka menolak tawaran kemewahan serta jawatan dalam kerajaan semata-mata tidak mahu dijadikan alat untuk kepentingan individu tertentu.  

No comments:

Post a Comment