Friday 7 September 2018

SUNGAI MENJADI NADI KEHIDUPAN MANUSIA

Kepentingan sungai kepada kehidupan manusia amat besar. Sungai Nil di Mesir menjadi latar belakang kisah beberapa orang Nabi. Sungai tersebut juga menjadi faktor menyumbang kepada tamadun Mesir purba dan terus membekalkan air kepada Mesir hingga kini. Tanpa Sungai Nil, Mesir menjadi kering kontang.

Manakala Sungai Tigris di Iraq pula adalah memberi sumbangan besar kepada tamadun Babylon purba serta kemegahan kota Baghdad pada zaman kegemilangan Islam. 

Masyarakat dahulu menggunakan sungai sebagai jalan menghubungkan sesuatu tempat. Penduduk Melaka menjadikan Sungai Muar, dan seterusnya memasuki cabang Sungai Pahang sebagai laluan menuju ke Pahang dan negeri di Pantai Timur. 

Kuala Lumpur dibuka dan kemudian membangun disebabkan adanya Sungai Kelang yang menjadi nadi kemajuan. Di Sarawak peranan sungai sebagai jalan pengangkutan masih penting sehingga ke hari ini. 

Jelaslah, kepentingan sungai kepada kehidupan manusia amat besar. Namun, masyarakat sekarang telah menjadikan sungai sebagai mangsa pembangunan. Sungai dinodai dengan sampah sarap, bahan kumuhan dan sisa kimia berbahaya. Sungai menjadi longkang sampah bagi penghuni di tebingnya.   

Kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membersihan dan memelihara sungai akibat pencemaran. Perbelanjaan besar itu dapat dikurangkan jika sungai tidak dicamari teruk dan wang itu dapat digunakan tujuan lain untuk kepentingan rakyat. Usaha murni menjaga kebersihan sungai memerlukan kerjasama semua rakyat. 

Penjagaan terhadap sungai daripada pencemaran amat penting dilakukan. Sungai membekalkan air yang menjadi sumber kehidupan manusia dan seluruh makhluk hidup lain. Tanpa air, semua unsur hidup akan mati. 

Firman Allah bermaksud: “Dan kamu lihat dahulunya bumi ini kering tanpa tumbuhan, kemudian apabila telah Kami turunkan air atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah ia dan menumbuhkan pelbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.” - (Surah al-Hajj, ayat 5).     

Sebab itu soal air bukan perkara kecil. Manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan bekalan air. Dua negara atau puak sanggup berperang dan bunuh membunuh disebabkan hak bekalan air.     

Allah menganugerahkan air sebagai satu rahmat. Banyak ayat al-Quran yang menyebut air sebagai anugerah Allah yang besar manfaatnya secara langsung untuk manusia dan yang mempunyai kaitan dengan kehidupan manusia. Kira-kira dua pertiga daripada permukaan bumi diliputi air. Manakala di dalam badan manusia terdiri kira-kira 70 peratus adalah air. 
         
Antara firman-Nya menyebut mengenai air bermaksud: “Dan Dia yang menurunkan air hujan dari langit (awan), untukmu, sebahagiannya untuk minuman dan sebahagian untuk (menyuburkan) pokok-pokok yang kamu gunakan untuk makanan ternakanmu.” - (Surah an-Nahl, ayat 10).

Air hujan tidak turun berterusan sepanjang masa. Hujan berterusan menyebabkan banjir yang disebut pula malapetaka, atau lebih tepat disebut balasan Tuhan atas sesuatu sebab. Air diperlukan untuk kehidupan, tetapi air juga menjadi perantaraan untuk Allah membinasakan manusia yang ingkar kepada perintah-perintah diturunkan. 

Banyak kaum terdahulu dimusnahkan dengan didatangkan banjir besar sebagai balasan kemungkaran dilakukan oleh kaum tersebut. Antara kaum yang menerima bala melalui banjir ialah kaum Saba. Saba (negeri) mengalami pembangunan hasil pengeluaran pertanian yang subur dengan adanya pembinaan ampangan untuk membekal air berterusan. 

Malangnya kaum Saba tidak bersyukur dengan nikmat air yang kurniakan. Maka, melalui air juga Allah mengirimkan balasan di atas kekufuran kaum Saba. Perkara itu dinyatakan oleh Allah melalui firman-Nya brmaksud: “Tetapi mereka membelakangkan (tiada bersyukur), lalu Kami kirimkan kepada mereka banjir besar.” – (Surah Saba, ayat 16).

Justeru, kita perlu berhati-hati dalam soal air. Air merupakan anugerah daripada Allah. Airlah sumber rezeki kepada penghidupan manusia. Manusia tidak mengharagi air samalah tidak sayangkan nyawa sendiri.   

Firman Allah yang bermaksud: “Dialah yang telah menjadikan bumi ini terhampar, langit sebagai atap untukmu, dan Dia telah menurunkan air hujan dari langit, lalu mengeluarkan buah-buahan sebagai rezeki untukmu.” - (Surah al-Baqarah, ayat 22).

Air hujan yang diturunkan ‘disimpan’ di dalam sungai, tasik, laut dan air bawah tanah. Ia menjadi bekalan semulajadi. Bekalan air perlu dijaga agar sentiasa selamat untuk digunakan dan mempunyai bekalan mencukupi. Kegawatan kekurangan bekalan air lebih parah berbanding kegawatan ekonomi. 

Perkara ini ditekankan, disebabkan sikap manusia yang tidak bertanggungjawab banyak sumber air menjadi tidak selamat digunakan. Selain itu masalah kekurangan sumber air juga sering berlaku. Ini semua angkara perbuatan manusia sendiri. Manusia yang melakukan kebinasaan di muka bumi sebenarnya memperlihatkan sifat tidak bersyukur dengan nikmat Allah.

Perbuatan itu dinyatakan oleh Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 bermaksud: “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut, disebabkan usaha tangan manusia, kerana Tuhan hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali.”

Diharapkan usaha pemulihan dilakukan segera sebelum malapetaka lebih besar diturunkan oleh Allah. Allah Maha Pembalas terhadap hamba-Nya. Jika bala diturunkan, ia tidak memilih orang yang bertanggungjawab menyebabkan sungai tercemar sahaja, tetapi semua orang. Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menjaga anugerah Allah. 

Nasib dan ‘maruah’ sungai perlu dipulihkan. Kesan pembangunan setempat bukan alasan mengapa sungai tercemar. Banyak sungai di kota-kota utama di seluruh dunia kekal dalam keadaan bersih dan menjadi daya tarikan pelancong. Kita perlu mencontohi negara maju dalam usaha penjagaan dan pemulihraan. Rakyat di negara maju menghargai sungai sebagai aset negara.

No comments:

Post a Comment