Friday 7 September 2018

PUNCA AIR TERCEMAR


Di negara kita bekalan air diperoleh dari punca sungai dan air bawah tanah. Namun bekalan ini semakin terancam. Air sungai kini mengalami masalah pencemaran yang serius akibat perbuatan tidak bertanggungjawab manusia. Pencemaran itu melibatkan keadaan sungai tidak selamat untuk kegunaan manusia dan hidupan air. 

Punca utama pencemaran sungai di negara kita disebabkan pembuangan sisa demostik seperti sampah sarap, bahan tidak larut, sisa kumbahan seperti najis manusia dan binatang ternakan, sisa industri seperti arsenik dan plumbun. Perbuatan itu membuktikan sikap tidak bertanggungjawab. 

Anugerah alam yang dikurniakan oleh Allah perlu dijaga dan dihargai. Jika dirosakkan, kesannya ditanggung oleh manusia sendiri. Sesungguhnya Allah tidak mengalami kerugian apa-apa. Manusia sendiri akan mengalami kesan buruknya. 

Allah telah tegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan setiap nasib buruk yang menimpa kamu adalah disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri, dan Tuhan memaafkan sebahagian besarnya.” - (Surah asy-Syura, ayat 30).

Selain itu buangan domestik yang mencemarkan sungai, aktiviti pembalakan dan pembangunan kawasan hulu sungai juga menjadi punca pencemaran sungai di negara kita. Sikap tamak dan gelojoh pengusaha pembalakan yang tidak mematuhi peraturan kerja-kerja pembalakan telah menyebakan banyak kerosakan kepada ekologi hutan. 

Banyak kawasan hutan telah digondolkan akibat aktiviti pembalakan. Ia dilakukan bukan sahaja orang yang tidak mengetahui hukum agama, bahkan lebih dahsyat dilakukan oleh golongan mengaku arif hal agama. 

Maha pedih hukum Allah kepada mereka yang tidak melakukan sesuatu yang sepatutnya seperti diketahui. Penerokaan sumber hutan secara tanpa dikawal mendatangkan banyak keburukan bukan sahaja berkaitan sumber air, bahkan merosakkan ekosistem secara keseluruhan.    

Hutan berperanan membantu penyerapan air hujan lebih banyak ke dalam tanah. Air hujan dapat disimpan di dalam tanah. Air itu (di kawasan tadahan air terletak di tanah tinggi) mengalir secara perlahan memasuki aliran sungai berterusan. Ia menjadi sumber air bersih dalam tempoh yang panjang.

Sebaliknya, akibat proses pembalakan tidak terkawal, permukaan tanah menjadi gondol. Apabila air hujan turun, ia mengalir tanpa sekatan dan resapan di dalam tanah. Hakisan tanah berlaku dengan banyak menyebabkan pencemaran sungai. Air sungai juga mudah kering kerana air di dalam tanah tidak tersimpan. 

Menyedari kepentingan sungai, kerajaan telah mengadakan usaha pemulihan sungai dan kempen menjaga kebersihannya. Salah satu usaha ialah Kempen Cintailah Sungai Kita yang mula diperkenalkan sejak tahun 1993. 

Hasil usaha itu telah membuahkan sedikit sebanyak kejayaan dan kesedaran orang ramai tentang kepentingan sungai dan kesannya jika ia terus tercemar. Namun begitu masih ramai anggota masyarakat masih bersikap tidak bertanggungjawab terus melakukan aktiviti yang menyebabkan pencemaran sungai.

Sungai yang bersih dan mengalir lancar melahirkan pemandangan yang cantik. Ia disebut oleh Allah sebagai tempat yang damai disediakan di syurga. “Dan kepada orang-orang beriman dan berbuat kebaikan, sampaikan khabar gembira, bahawa mereka akan mendapat syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai.” - (Surah al-Baqarah, ayat 25).

Pemandangan sungai yang tercemar hilang daya tarikan. Sungai yang dikaitakan dengan kedamaian dan keindahan telah bertukar keadaan menyakitkan mata dan mendatangkan bau busuk. Sungai tidak lagi menjadi daya tarikan dan menjadi rebutan golongan kaya untuk dijadikan laman rumah. 

Sebaliknya kini sungai menjadi rebutan bagi golongan tidak berada. Kawasan tebing sungai menjadi penempatan setinggan. Penghuni setinggan tidak menghiraukan lagi soal bau busuk dan pemandangan tidak elok sungai asalkan dapat membina penempatan di situ. Bahkan golongan setingganlah yang lebih memburukkan pemandangan sungai di kota. 

Penghuni tebing sungai mengambil jalan mudah membuang sampah sarap ke dalam sungai. Cara itu mudah dengan mencampaknya melalui pintu atau jendela dari atas rumah. Sungai dijadikan sebagai tong sampah. 

Mereka ingkar perintah Allah agar menjaga kebersihan dan mensyukuri nikmat yang didikurniakan. Islam amat mementingkan soal kebersihan dan menjauhkan segala bentuk keburukan akibat persekitran yang kotor. 

Tidak harilah jika didapati sepanjang aliran sungai di kota dipenuhi oleh sampah. Sampah dihanyutkan sepanjang aliran sungai sehinggalah ke laut. Sampah tersebut kemudiannya akan mencemari pula pantai dan muara sungai. 

Ketika musim kemarau aliran air kurang laju, sampah-sampah tidak dibawa arus. Sampah  tersekat dan berkumpul di satu-satu tempat. Lama kelamaan timbunan sampah semakin banyak. Timbunan sampah menjadi halangan untuk aliran air. Air bertakung menjadi berbau busuk. Tempat itu menjadi tempat pembiakan pelbagai jenis penyakit.   

Jentik-jentik mudah membiak di takungan air busuk dan kotor. Tin kosong dan botol dicampakkan ke dalam sungai juga menjadi tempat pembiakan nyamuk. Sebab itu di kawasan rumah setinggan mudah merebak penyakit bawaan nyamuk. 

Sampah sarap yang dicampakkan ke dalam sungai menjadi penghalang kepada aliran sungai. Apabila berlaku hujan, aliran air tersekat oleh timbunan sampah. Sampah menutupi perangkap sampah sehingga air juga terperangkap. Akibatnya berlaku banjir kilat. 

Di kawasan bandar kejadian banjir kilat sering berlaku setiap kali hujan lebat turun. Ramai penduduk mengalami kerugian dan kesusahan. Segala-galanya berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab manusia sendiri. 

Kesan pencemaran sungai akan mengurangkan bekalan air bersih untuk kegunaan seharian. Air yang tercemar tidak selamat untuk digunakan sebagai air minum, membasuh, mandi dan sebagainya. Kebanyakan sungai yang ketika dahulu dijadikan tempat mencari rezeki oleh nelayan kini tidak bererti lagi. Tidak ada lagi hidupan sungai seperti ikan, ketam dan udang dapat hidup dalam air sungai yang kotor dan beracun.   

Daripada kajian didapati salah satu punca merebaknya penyakit ialah melalui air yang tercemar. Di seluruh dunia kira-kira 250 juta kes penyakit bawaan air berpunca daripada air tercemar. Usaha lebih giat perlu dilakukan bagi menyelamatkan sungai daripada terus tercemar. 

Diharapkan usaha pemulihan dilakukan segera sebelum malapetaka lebih besar diturunkan oleh Allah. Allah Maha Pembalas terhadap hamba-Nya. Jika bala diturunkan, ia tidak memilih orang yang bertanggungjawab menyebabkan sungai tercemar sahaja, tetapi semua orang. Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menjaga anugerah Allah. 

Nasib dan ‘maruah’ sungai perlu dipulihkan. Kesan pembangunan setempat bukan alasan mengapa sungai tercemar. Banyak sungai di kota-kota utama di seluruh dunia kekal dalam keadaan bersih dan menjadi daya tarikan pelancong. Kita perlu mencontohi negara maju dalam usaha penjagaan dan pemulihraan. Rakyat di negara maju menghargai sungai sebagai aset negara. 

No comments:

Post a Comment