Thursday, 20 September 2018

KOLAM AIR PANAS LA HOT SPRING MENJADI TUMPUAN RAMAI

Air panas semula jadi yang keluar dari perut bumi baik untuk kesihatan. Ia mengandungi banyak galian terutama sulfur yang berupaya mengatasi masalah kulit. Dalam masyarakat kita telah lama mengamalkan menggunakan air panas semula jadi untuk mengubat penyakit kulit seperti kudis dan gatal.

Manakala kajian pakar perubatan di Jepun telah mendapati air panas semula jadi juga amat baik untuk merawat penyakit dalaman seperti lenguh-lenguh badan, sakit jantung, darah tinggi, lumpuh, kencing manis dan barah. Ia baik untuk membaiki perjalanan darah.

Di negara kita terdapat tidak kurang daripada 48 buah kolam air panas yang telah dikenal pasti dan menjadi tumpuan ramai. Kebanyakan kolam air panas semula jadi telah dibangunkan untuk tujuan tempat tumpuan riadah dan istirahat.

Antara kolam air panas yang telah dibangunkan untuk tujuan tersebut ialah Kolam Air Panas La atau lebih dikenali La Hot Spring di Besut, Terengganu. Kawasan La Hot Spring kini menjadi salah satu tempat tumpuan orang ramai untuk isterahat, ikhtiar berubat maupun alasan untuk melihat sesuatu yang jarang terdapat di tempat lain.

Air Panas La terletak kira-kira 38 kilometer dari pekan Jertih, Terengganu. Untuk sampai ke kolam itu, pengunjung perlu melalui jalan kawasan ladang kelapa sawit sejauh kira-kira tiga kilometer dari jalan utama. 

Seperti juga kolam air panas semula jadi di tempat lain, punca Air Panas La merupakan mata air semula jadi yang terbentuk oleh aktiviti gunung berapi yang kurang aktif jauh di dalam perut bumi.

Di dalam perut bumi kandungannya adalah cecair panas atau wap. Wap panas akan melalui rekahan gunung berapi untuk ke permukaan bumi. Sepanjang pergerakan naik itu wap panas akan kehilangan sebahagian habanya. 

Wap panas itu mengembang apabila sampai berhampiran permukaan bumi dan kemudian bertukar menjadi cecari dan seterusnya membentuk mata air yang panas. Air yang keluar itu seperti air sedang gelegak melimpah keluar dari tempat memanas. Air panas yang keluar sedikit berbau belerang atau sulfur. 

Di Air Panas La, dua tingkat empangan kecil dibuat untuk menangkung air panas yang keluar bagi memudahkan orang ramai memanfaatkannya. Ramai pengunjung duduk di tebing bagi merasai kehangatan air dengan merendamkan kaki atau tangan.

Bagi pengunjung yang tahan kepanasan, mereka memasuki terus dalam empangan itu dan merendam keseluruhan badan kecuali bahagian kepala. Rasa amat panas biasanya hanya dirasai pada mula-mula sahaja dan selepas itu rasa panas berkurangan. 

Selain itu terdapat kolam khas yang dibina berasingan untuk kegunaan lelaki dan perempuan. 

Air panas yang melimpah dari empangan dialirkan ke sebuah anak sungai berdekatan dengannya. Sungai itu menjadi tempat kanak-kanak mandi manda sambil merasai sedikit air panas yang mengalir memasukinya.

Selain itu, di Air Panas La juga mempunyai kemudahan chalet, surau, tandas awam, gerai makan, bilik persalinan, tempat letak kereta dan tapak perkehmahan.

Kemasyhuran Air Panas La pernah menarik perhatian pemimpin utama negara datang ke situ termsuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.

No comments:

Post a Comment