Sunday 16 September 2018

TANDA ANDA TELAH TUA

Antara tanda penuaan atau usia telah tua ialah penglihatan akan terganggu. Daya tumpuan penglihatan juga semakin kurang. 
 
Apa yang dilihat tidak lagi jelas. Isyarat maklumat penglihatan yang dihantar untuk diterjemahkan oleh otak sering menjadi tidak tepat. 
 
Contohnya, jika akan lihat gambar di atas ada dua orang di atas motosikal, itu bukti anda sudah tua dan perlu menyedari hakikat itu. 

Anda tidak perlu ringsing. Itu satu perkara biasa dalam proses usia meningkat tua. Yang perlu difikirkan adakah bekalan untuk akhirat telah cukup atau masih banyak yang perlu dicari. Ingatlah, mati itu pasti. Akhirat itu adalah benar. Soal balasan syurga dan neraka itu adalah benar.

Di Malaysia, orang tua mempunyai gelaran lain seperti warga emas, golongan veteran atau 'senior'. 
 
Takrifan warga emas adalah mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat saja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.

Ini adalah anggapan yang salah. Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.

Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan. Ia adalah pengiktirafan kepada golongan itu agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban. 
 
Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda harus menghargai jasa mereka selama ini. Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita.

Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara. Golongan ini boleh terus membabitkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dengan menyumbang idea bernas berdasarkan pengalaman mereka.

Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku kehidupan yang penuh mencabar ini. Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat jahat. 

Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat. Oleh itu, golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman mereka agar hala tuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna.

Warga tua sebenarnya boleh menyumbang tenaga dengan melakukan kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar di kawasan kejirannannya atau seorang profesor boleh menulis artikel ilmiah bersesuaian dengan bidangnya. Ini agar tulisan beliau dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum.

Bukan itu saja, bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak di sekitar rumahnya. Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya, mahir bertukang, melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk menambah sumber rezeki.

Contoh di atas hanya beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama. 
 
Tentunya golongan ini lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka.

Sumbangan yang diberikan itu, walaupun kelihatan kecil, namun golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari yang kecil.

Begitu pun, mungkin sesetengah warga tua berpendapat bahawa masa tua adalah waktu untuk berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak.

Namun begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana ia akan hanya mensia-siakan kebolehan dan ilmu yang mereka ada. Sedangkan ilmu di dada mereka itu amat berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara. 
 
Lagipun, ramai yang berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah 'sakit'.

Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah diberikan perhatian. Di samping itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan tambahan digalakkan.

Pada masa yang sama, warga emas ini perlu sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

Proses penuaan adalah perkara semula jadi. Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini. Jadi, elakkan diri daripada sedih atau sensitif jika orang lain mengatakan yang anda kelihatan tua kerana semua orang akan melalui proses penuaan itu.

Usia walaupun meningkat, namun sebenarnya kita masih mampu memberikan sumbangan berguna kepada bangsa, agama dan negara. Oleh itu, hadapilah usia emas anda dengan penuh gemilang.

No comments:

Post a Comment