Sunday 16 September 2018

SEJARAH ISTANA BATU MUZIUM DIRAJA KELANTAN

Istana Batu dikenali atau mendapat nama sebagai Istana Batu kerana diperbuat daripada batu, berbanding beberapa istana sebelum itu di Kota Bharu yang menggunakan kayu sebagai bahan utama pembuatan. 
 
Bagaiamanpun, Istana Batu bukan bangunan batu pertama di Kota Bharu. Sebaliknya, Bank Kerapu menjadi antara bangunan batu terawal di Kota Bharu. Istana Batu banyak menyimpan sejarah Sultan Kelantan. Istana Batu kini dikenali Muzium Diraja.   

Istana Batu dibina pada tahun 1939 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Ismail Ibni almarhum Sultan Muhammad Keempat. Keseluruhan rekabentuk istana ini diilhamkan sendiri oleh Sultan Ismail. lanya dikurniakan kepada Sultan Yahya Petra dan Raja Perempuan Zainab 11 dan sebagai hadiah perkahwinan baginda berdua.

Istana ini telah menjadi tempat bersemayarn Sultan Yahya Petra sehingga tahun 1960 sebelum baginda ke Istana Kota Lama yang telah dijadikan tempat bersemayam rasmi Sultan Kelantan. 
 
Pada tahun 1966 Istana Batu ini telah diubahsuai kemudiannya menjadi kediaman rasmi Datuk Tengku Salwani binti Almarhum Sultan Yahya Petra.

Pada tahun 1969 Istana Batu ini dijadikan istana rasmi kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan iaitu Tengku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya yang kemudiannya menjadi Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan Darulnaim. Baginda telah bersemayam di Istana Batu sehingga tahun 1972.

Istana Batu telah menempa banyak sejarah seperti tempat perkahwinan kerabat-kerabat DiRaja, tempat kediaman bagi raja-raja, kerabat-kerabat dan tetamu-tetamu Al-Sultan Kelantan semasa berkunjung ke negeri Kelantan.

Istana ini telah mencatat satu lagi sejarah apabila keluarga almarhum Sultan Yahya Petra mengampuni perkenan meminjamkan bangunan ini dijadikan sebagai Muzium DiRaja dan telah dirasmikan oleh Sultan Ismail Petra Ibni almarhum Sultan Yahya Petra pada 25 Julai 1991 bersempena dengan hari ulang tahun Keputeraan Baginda yang ke-41.

Di muzium ini mempamerkan Sejarah Kesultanan Kelantan sejak awal hingga sekarang termasuk salasilah, penulisan-penulisan, rajah-rajah, gambar-gambar, pakaian-pakaian rasmi, barang-barang hadiah dan lain-lain yang berkaitan dengan Kesultanan Kelantan. 

Muzium Diraja Istana Batu ini terletak dalam pusat bandar Kota Bharu. Muzium ini amat bersejarah dan menjadi tarikan para pelancong penyelidik dan juga penduduk tempatan untuk mengenali lebih dekat lagi tentang keluarga Diraja.
 
Istana ini terletak di Jalan Hilir Kota iaitu berhampiran dengan Istana Balai Besar, Istana Jahar dan Kampung Kraftangan. Manakala di bahagian belakang Istana Batu pula terletak Masjid Muhammadi iaitu Masjid Negeri Kelantan.

Dengan melawat Istana Batu atau Muzium Diraja ini, para pengunjung berpeluang untuk melihat dan merasai sendiri bagaimana keadaan di dalam istana yang pernah didiami oleh Sultan Kelantan dan Kerabat Diraja pada suatu ketika dahulu.

No comments:

Post a Comment