Saturday 15 September 2018

BIJAK URUS MASA

Masa itu emas. Itulah pepatah yang menjelaskan tentang tingginya nilai masa. Kita diingatkan agar sentiasa menghargai masa agar tidak kerugian. Namun, hakikatnya nilai masa lebih berharga daripada emas. Masa yang menentukan kehidupan di dunia ini tidak dapat dinilai atau diganti dengan dengan apa sekalipun. 

Emas boleh dijual beli, atau ditukar ganti. Sedangkan masa yang berlalu tidak boleh diganti kembali. Sebab itu orang yang menghargai kehidupannya sentiasa mementingkan masa.

Imam Hassan al-Bashri pernah berkata: “Tidaklah sehari itu berlalu kecuali setiap terbit matahari ada seruan: “Hai anak cucu Adam, aku adalah ciptaan yang baru, aku menjadi saksi atas perbuatanmu, maka berbekallah dariku kerana sesungguhnya aku, jika sudah berlalu, tidak akan kembali sampai datang hari kiamat nanti.”

Manakala itu, pepatah Arab pula ada menyebut: “Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak menggunaknya untuk memotong, nescaya ia akan memotong kamu.” Pepatah itu memberi peringatan agar setiap orang menguruskan  masa dengan bijak bagi mengelak keadaan yang tidak diingini berlaku. 

Sebenarnya sejauh manakah kita menghargai masa. Adakah kita ada merasai kerugian, menyesal, atau sedih jika membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan perkara berfaedah. Berapa kekerapkah kita muhasabah diri menoleh kembali masa lepas untuk membandingkan adakah kebaikan lebih banyak dilakukan atau sebaliknya. 

Berapa ramaikah antara kita yang merancang apa yang ingin dilakukan pada hari esok, selain tugas rutin seharian. Adakah kita berkobar-kobar untuk melakukan sesuatu yang baik agar tidak membazirkan masa. 

Islam amat menitik beratkan soal pengurusan masa kerana kehidupan ini perlu dipenuhi dengan perkara kebaikan bagi bekalan menghadapi kehidupan di akhirat. Sesiapa yang memanfaatkan masa, bererti dia juga mementingkan kualiti hidup yang berasaskan kepada takwa dan keimanan. 

Orang beriman tidak mensia-siakan amanah masa hidup di dunia ini. Allah mencipta manusia bukan untuk menikmati hidup di dunia ini sia-sia. Sebaliknya, hidup ini mempunyai tanggungjawab untuk menyembah dan beribadat kepada Allah.  

Kehidupan di dunia ini diumpama kelasi kapal yang singgah sementara di pelabuhan untuk mencari bekal sebelum meneruskan pelayaran yang jauh dan tidak mungkin ada lagi peluang untuk singgah di pelabuhan lain. 

Kapten kapal tidak menjelaskan berapa lama kapal berlabuh dan bilakah akan berlayar kembali. Kelasi kapal hanya akan diberitahu melalui semboyan apabila kapal akan belayar kembali, dan tidak boleh ditangguh atau dipercepatkan walau seminit. Segala-galanya berlalu dengan pantas, dan kelasi kapal tidak ada pilihan melainkan meneruskan pelayaran biarpun bekalan belum mencukupi.

Salah satu sifat biasa diamalkan ialah bertangguh atau ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang, sedangkan sepatutnya perkara dapat atau perlu dilakukan segera. Sifat bertangguh adalah  satu sifat negatif yang perlu dijauhi daripada menjadi amalan dalam kehidupan seharian. 

Sifat bertangguh mendatangkan banyak kerugian dan keburukan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, terutama dalam perkara penting. Peluang tidak datang berulang-ulang.    

Kepentingan masa amat jelas. Kehidupan ini adalah masa yang ada. Sesiapa tidak menggunakan masa dengan baik bermakna tidak menyayangi kehidupan. Allah menyebut dalam al-Quran berkaitan masa tentang golongan manusia yang berada dalam kerugian.

Dalam surah al-Ashr dimulai dengan perkataan ‘demi masa’ yang menjadi satu bentuk peringatan bagi seluruh umat Islam tentang kepentingan masa.  Firman Allah bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-Ashr, ayat 1 - 3).

Jelas sekali, individu yang beruntung terdiri mereka yang melakukan tanggungjawab sebagaimana diperintahkan Allah seperti mana dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Ku” (Surah adz-Dzariyat, ayat 56).

Tidak cukup dengan itu, individu yang beruntung mesti juga sentiasa berpesan-pesan agar dirinya dan orang lain sentiasa teguh hati dan bersabar dalam hidup. Setiap individu mesti menjalankan tugas menyeru kepada kebaikan dan mencegah melakukan keburukan.

Justeru, setiap individu Muslim perlu sentiasa memperteguhkan keimanan sepanjang masa dan melakukan tugas berdakwah dengan sebar mengenai kebenaran dan kebaikan. Masa hidup yang sebenarnya amat singkat ini semakin hari menghampiri ke penghujung kehidupan. 

Walaupun kiraan umur semakin bertambah, tetapi hakikatnya jumlah umur yang masih tinggil semakin berkurangan. Setiap saat berlalu, bermakna sesaat juga semakin hampir kepada kematian. Sesungguhnya, ketibaan saat kematian tidak diketahui oleh sesiapa pun, kecuali Allah.

Sebab itu peluang hidup yang masih ada ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan disegerakan melakukan ibadat dan perkara kebaikan sebagai bakalan hidup di akhirat. Hidup di dunia adalah ladang untuk mengumpul bekalan hidup di akhirat.

Kehidupan ini hanya bererti jika setiap hari kita berusaha melakukan kebaikan dalam hidup. Ketika peluang masih terbuka, jangan bertangguh-tangguh lagi untuk melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.   

Untuk melancarkan aktiviti yang dilakukan seharian atau satu tempoh masa akan datang, perancangan yang teliti harus dibuat. Perancangan itu mungkin untuk tempoh masa sehari, seminggu, sebulan atau setahun. Penjadualan aktiviti amat penting untuk mengelak pertindihan, tidak cukup waktu, pembaziran masa, tidak sistematik dan tertangguh.

Sebab itu amat penting sentiasa menepati masa. Banyak urusan tidak dapat dilakukan dengan sempurna disebabkan tidak mengikut masa yang ditetapkan. Hal ini sekaligus menyebabkan kerugian yang bukan sahaja ditanggung oleh diri sendiri, bahkan pihak lain yang berkaitan dengannya.

Kita kerap berdepan dengan situasi lewat setengah jam. Dalam masyarakat kita sudah menjadi satu budaya tidak menepati masa. Biarpun mengetahui masa sebenarnya, biasanya disengajakan untuk lewat kira-kira setengah jam, kononnya semua orang sudah biasa mengamalkan begitu. Dalam hal ini, orang yang menepati masa akan menjadi mangsa. 

Amalan menangguhkan kerja akan menyebabkan sentiasa tertangguh sehingga berkali-kali dan berkemungkinan tidak akan dilakukan langsung. Justeru itu, teruslah lakukan apa yang baik dan jauhkan perkara mendatangkan kerugian. 

Sikap istiqamah dalam melakukan pekerjaan perlu dilakukan bagi memastikan dapat dilakukan dengan sempurna. Amalan yang baik perlu diteruskan, serta diusahakan peningkatan mutu dan produktivitinya. 

Allah menyukai individu yang istiqamah dalam melakukan ibadat dan tugas seharian. Mereka sentiasa menghargai peluang dan tidak mempersia-siakan masa. Individu yang istiqamah tidak mudah berpuas hati atau berputus asa dalam usaha mencari keredaan Allah.

Setiap kali bertangguh bermakna mencuri masa yang sepatutnya digunakan untuk tujuan lain. Apabila kita menangguh kerja yang sepatutnya dilakukan hari ini, pada masa akan datang kerja itu semakin banyak dan lebih banyak lagi yang terpaksa ditangguhkan disebabkan tidak mempunyai masa yang cukup.  

Bertangguh daripada melakukan sesuatu bermakna tidak bersungguh-sungguh, tidak menghargai, tidak penting, tidak ikhlas atau tidak terfikirkan akannya. Sikap sentiasa bertangguh akan menyebabkan banyak peluang terlepas. Masa telah berlalu tidak dapat digantikan lagi.

Kita sepatutnya menjadikan diri seperti pengembara yang ingin cepat sampai ke destinasi. Untuk itu, kita perlu mula bergerak menuju ke destinasi tersebut dengan secepat mungkin. Jika kita bertangguh waktu bertolak, maka lewatlah waktu sampainya. Banyak peluang baik terlepas kerana terlewat sampai di tempat yang dituju.

Iktibar ini dapat difahami daripada sabda Rasulullah kepada Ibnu Omar bermaksud: “Rasulullah memegang bahuku sambil berkata: “Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang pengembara. Jika kamu berada pada waktu petang, jangan tunggu sampai pagi. Jika kamu pada waktu pagi, jangan tunggu sampai petang. Gunakan peluang masa sihat sebelum tiba sakit dan gunakan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Hadis riwayat Bukhari).

Kita semua sedar tugas manusia di dunia ini ialah mencari sebanyak bekalan untuk kehidupan di akhirat. Peluang masa masih hidup ini perlu dipergunakan sepenuhnya sebelum tiba masa ajal. 

No comments:

Post a Comment