Monday 8 October 2018

TAMAN NEGERI GUNUNG STONG

Gunung Stong terletak di Dabong, Kelantan iaitu di Daerah (jajahan) Kuala Krai. Gunung Stong mempunyai ketinggian 1,421 meter dari aras laut. Gunung Stong termasuk dalam kawasan Taman Negeri Gunung Stong ialah sebuah kawasan berhutan dengan keseluruhan keluasan ialah 21,950 hektar.

Selain puncak Gunung Stong terdapat sembilan lagi gunung di dalam kawasan Taman Negeri Gunung Stong iaitu Gunung Ayam dengan ketinggian 1,504  meter, Gunung Baha (1,450 meter), Gunung Kopi (1,240 meter), Gunung Saji (1,284 meter), Gunung Chik Tahir (1,430 meter), Gunung Nyelit (1,345 meter), Gunung Beirut (1,380 meter), Gunung Tera (1,555 meter) dan Gunung Noring Timur setinggi 1,861 meter.  

Tarikan utama yang terdapat di Gunung Stong ialah air terjun Jelawang setinggi 303 meter dari aras laut dan merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Dari kejauhan lagi air terjun ini sudah kelihatan yang menggamit pengunjung untuk sampai ke air terjun itu.

Gunung Stong menjadi pilihan bukan sahaja pendaki dari Kelantan, bahkan juga luar Kelantan.

Kebanyakan pendaki bermula dari Gunung Stong State Park ke Campsite iaitu Kem Baha. Permulaan trek pendakian yang agak mencanak dan keadaan trek yang lembab dan agak berkabus. Terdapat marking di trek dan trek pendakian terang dan jelas. 

Pendakian ke Kem Baha sejauh 3.5 kilometer mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit sehingga dua jam. Namun ada juga pendaki mengambil masa sehingga tiga jam, terutama jika hujan di mana keadaan trek licin. Untuk sampai ke tapak perkhemahan di Kem Baha, peserta terpaksa melintasi sebuah air terjun yang besar.

Bagi kebanyakan kumpulan pendaki hanya akan terhenti di Kem Baha. Bagi yang tidak ingin bermalam, mereka akan terus turun pada hari yang sama. Namun, alang-alang sampai di Kem Baha mereka mereka akan bermalan di situ. 

Selain, menikmati suasana malam di puncak gunung, mereka menantikan detik indah melihat sinar mentari pada waktu pagi. Suasana sungguh menarik dengan kepulan awan yang membentuk hamparan awan atau dipanggil karpet awam.

Kawasan Kem Baha cukup luas untuk menampung lebih 100 orang pada satu-satu masa. Terdapat bekalan air dan keperluan lain untuk keselesaan mereka yang berkhemah di situ.

Beberapa tempat menarik boleh dilawati di sekitar Kem Baha seperti Gua Rantai, Air Terjun Kolam Puteri, Telaga Tujuh dan Air Terjun Dua Gunung.

Gua ini dinamakan Gua Rantai kerana dipasang rantai di dalamnya bagi memudahkan pengunjung melalui gua ini. Walaupun tidaklah begitu jauh perjalanan dalam gua ini namun tetap memberi keseronokkan kepada pengunjung.

Air Terjun Kolam Puteri ini agak tinggi dan mempunyai kolam yang besar, dalam dan tenang. Seronok bermain air di sini sama ada mengelunsur di air terjun mahupun berenang.

Manakala Telaga Tujuh adalah telaga semulajadi yang berada di tengah-tengah sungai di atas Air Terjun Kolam Puteri. Masuk ke dalam telaga ini menjanjikan satu pengalaman menarik.

Mereka yang berkemah di Kem Baha mempunyai dua pilihan, sama ada terus turun atau meneruskan pendakian ke Gunung Stong. Pendakian ke puncak Gunung Stong sejauh kira-kira 7.5 kilometer mengambil masa selama empat hingga lima jam. 

Terdapat beberapa check point iaitu check point Sungai Rantai, Gua Bongor, Sang Kelembai dan Permatang sebelum tiba di puncak Gunung Stong.

Jadi, bagi pendakian terus dari bawah sehingga ke puncak Gunung Stong mengambil masa kira-kira enam hingga tujuh jam. Satu pendakian yang hanya mampu dilakukan oleh pendaki tegar.

Puncak Gunung Stong adalah merupakan satu batu yang amat besar. Dalam Bahasa Inggeris batu adalah stone, jadi orang Kelantan panggil stone tu sebagai stong. Begitulah gunung ini mendapat nama.

Selain mendaki ke puncak Gunung Stong, satu lagi gunung jadi pilihan pendaki ialah Gunung Ayam. Gunung Ayam, puncak tertinggi di kawasan ini setinggi 1,504 meter.

Gunung Ayam mempunyai menjadi destinasi pendakian kepada mereka yang ingin meneruskan cabaran pendakaian lebih hebat setelah sampai di Kem Baha. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan.

Di persekitaran gunung Ayam terdapat pelbagai spesies flora dan fauna termasuk spesies yang tidak terdapat di mana-mana dan hanya ada di kawasan Hutan Jelawang sahaja.

Antara yang menarik perhatian ialah sejenis buluh yang dikenali sebagai Futomuqlua Pubesen dan tumbuhan bernama Begonia.

Selain itu terdapat juga ratusan jenis orkid pula dapat dilihat di merata tempat kawasan pergunungan yang dilalui. Juga terdapat pelbagai jenis burung dan serangga yang amat menarik.

Nota: Peraturan menetapkan semua pendaki perlu dapatkan seorang guide sebelum memulakan pendakian. Seorang guide boleh bawa maksimun 15 orang. 

1 comment: