Saturday 3 November 2018

AGIHAN TUGAS KERJA MENANAM PADI

Pada masa dahulu, kerja menanam padi dilakukan melibatkan suami isteri. Namun, kerja-kerja itu dilakukan secara berasingan mengikut kesesuaian tugas, terutama yang melibatkan tenaga lelaki.

Kerja menanam padi melibatkan beberapa peringkat bermula penyediaan tapak atau sawah yang dipanggil membajak, menyemai atau menabur benih padi, mencabut anak padi, mencedung dan seterusnya menuai padi.

Kerja memerlukan tenaga lebih seperti membajak akan dilakukan oleh suami. Proses membajak menggunakan kerbau atau lembu memang tugas mencabar dan tidak sesuai dilakukan oleh wanita.

Semasa proses mencabut anak padi, biasanya dilakukan oleh wanita. Untuk membawa anak padi ke sawah dengan menggunakan kandaran pula dilakukan lelaki.

Suami dan isteri pula akan bersama-sama melakukan tugas mencedung atau menanam anak padi yang dipindahkan ke sawah. Sepanjang proses padi membesar, kerja membaja dan mengawal rumpai akan dilakukan oleh suami.

Apabila masuk musim menuai ada dua cara. Pertamanya dinamakan cara mengetam. Mengetam dilakukan dengan memotong tangkai padi menggunakan ketam. Kerja ini biasa dilakukan oleh wanita. Padi yang dituai cara ini bertujuan untuk disimpan lebih lama, terutama untuk dijadikan benih pada musim penanaman musim hadapan.

Satu lagi cara ialah memotong batang pokok padi di bahagian bawah dan kemudian proses atau kerja memukul padi dilakukan untuk meleraikan padi daripada tangkalnya.

Kerja memukul memang memerlukan banyak tenaga. Sebab itu, kerja ini biasanya dilakukan oleh lelaki. Jika wanita turut serta, mereka biasanya lebih menumpukan kepada kerja menyabit atau mengerat pokok padi.

Padi yang telah dipukul akan dijemur dan seterusnya dianginkan untuk mengasing antara padi bernas dengan padi hampa. Selain itu, mengangin juga bertujuan mengasingkan bendasing yang ada bersama-sama padi seperti tangkai dan daun padi yang termasuk bersama.

Manakala proses meumbuk padi pula biasanya dilakukan oleh wanita. Proses selanjutnya ialah menapi beras untuk mengasingkan kulit padi dan melukut.

Indah kehidupan suami isteri pada masa dahulu dalam melakukan tugas-tugas seharian yang turut dibantu oleh anak-anak.

No comments:

Post a Comment