Saturday 3 November 2018

TONG TEMPAT MEMUKUL PADI

Mukul padi. Pada masa dahulu, kerja menuai padi dilakukan dengan dua cara. Pertamanya dinamakan cara mengetam. Mengetam dilakukan dengan memotong tangkai padi menggunakan ketam. 

Kerja ini biasa dilakukan oleh wanita. Padi yang dituai cara ini bertujuan untuk disimpan lebih lama, terutama untuk dijadikan benih pada musim penanaman musim hadapan.

Satu lagi cara ialah memotong batang pokok padi di bahagian bawah dan kemudian proses atau kerja memukul padi atau mukul padi dilakukan untuk meleraikan padi daripada tangkalnya. Ia juga dipanggil kerja membanting padi. 

Kerja memukul memang memerlukan banyak tenaga. Sebab itu, kerja ini biasanya dilakukan oleh lelaki. Jika wanita turut serta, mereka biasanya lebih menumpukan kepada kerja menyabit atau mengerat pokok padi.

Dalam proses memukul, sebuah tong padi yang dilengkapi dengan sehelai layar yang diperbuat daripada tikar atau kain guni dan sebuah tangga kecil di dalamnya berserta dengan kayu (buluh) yang mencekangkan layar yang dikenali sebagai "turus layar" akan digunakan.

Kedap-kedap atau ikatan batang padi akan dipukul ke dalam tong padi dan buah padi akan terlerai masuk dan terhimpun di dalam tong tersebut. Layar digunakan untuk mengelak buah padi yang terlerai itu 'melompat' keluar dari tong ketika proses memukul.

Ukuran ikatan batang padi berdasarkan kepada keselesaan atau kemampuan pemukul. Kalau yang lagi besar, lebih cepat selesai kerja memukul, tetapi memerlukan banyak tenaga untuk mengangkat ikatan batang padi melepasi paras kepala sebelum dihempas atau dipukul di atas tangga di dalam tong padi.

Ikatan batang padi biasanya menggunakan kain atau tali yang tidak licin dan berukuran lebar. Batang padi sebenarnya bukan diikat simpulan mati, sebaliknya sekadar dijerut agar kemas dan tidak terurai semasa proses memukul.

Pokok padi yang telah semua buah padi terlerai atau terpisah dari tangkainya dinamakan jerami. 

No comments:

Post a Comment