Saturday 24 November 2018

ANGGOTA SIMPANAN ATM TIDAK DIHARGAI

Dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri dua komponen anggota iaitu anggota tetap dan anggota simpanan. Anggota tetap adalah merujuk kepada anggota yang bertugas mengikut terma kontrak perkhidmatan dalam tempoh masa yang ditetapkan yang mana ada dikelaskan Tempoh Tamat Perkhidmatan (TTP) yang perlu disempurnakan. Mereka menerima gaji tetap bulanan dan termasuk dalam senarai pejawat awam.

Manakala anggota simpanan yang juga dikenali anggota sukarela atau wataniah, adalah anggota yang berkhidmat separuh masa mengikut terma perkhidmatan dan boleh dikerah untuk berkhidmat seperti anggota tetap apabila keadaan memerlukan khidmat mereka. Mereka juga dikenali sebagai pasukan barisan kedua pertahanan negara. Khidmat mereka dibayar elaun mengikut jam ataupun harian.

Anggota simpanan melalui proses latihan ketenteraan sama seperti anggota tetap. Bezanya hanya dalam segi tempoh latihan. Masa latihan biasanya hanya pada cuti hujung minggu, kem tahunan dan latihan khusus. Jadi, dari segi keupayaan mereka setanding dengan anggota tetap. Mungkin yang kurang ialah dari segi pengalaman bertugas.

Komitmen anggota simpanan cukup kental. Mereka bersedia menjalani latihan lasak dan berat biarpun bukan untuk menjadi kerjaya. Mereka sebenarnya boleh memilih untuk hadir atau tidak setiap latihan yang ditetapkan. Namun, mereka memilih untuk hadir dan sedia melalui sesuatu yang lain daripada kebiasaan tugas atau kerjaya mereka.

Inilah yang dinamakan keikhlasan. Bukan imbuhan yang dikejar, tetapi kepuasan untuk menjadi benteng pertahanan kedua negara apabila khidmat mereka diperlukan.

Ketika anggota tetap terpaksa melakukan tugas kerana kontrak perkhidmatan dan sebagai kerjaya, anggota simpanan menjadikan penglibatan mereka dalam tentera sebagai kesediaan untuk mempertahankan negara bila-bila masa diperlukan.

Namun, anggota simpanan sering dipandang rendah. Mereka tidak mendapat penghormatan sewajarnya. Keadaan ini bukan sahaja diterima di kalangan anggota lain-lain pangkat, bahkan termasuk pegawai.

Sedangkan, keberadaan mereka dalam ATM diiktiraf sama sebagai anggota tetap. Pegawai Simpanan juga menerima watikah perlantikan daripada Yang Dipertuan Agong sebagai Pihak Berkuasa Tertinggi dalam ATM, sama seperti pegawai tetap. Watikah perlantikan mereka sama dengan pegawai tetap dengan dinyatakan kor mereka ditauliahkan ialah dalam Rejimen Askar Wataniah.

Akibat diskriminasi inilah ada anggota simpanan tidak mahu meneruskan perkhidmatan. Berasa diri dihina dan dipermainkan. Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di universiti tempatan yang menghasilkan ribuan pegawai simpanan boleh dianggap sebagai aktiviti kokurikulum. Pegawai simpanan tidak berminat untuk melapor diri bertugas di pasukan atau jikapun melapor sekadar hadir berberapa kali dan tidak menyambung perkhidmatan apabila tamat TTP.

Bukan sedikit jumlah kewangan dikeluarkan oleh ATM untuk melahirkan seorang pegawai simpanan sepanjang tiga tahun mereka menjalani latihan secara separuh masa ketika berada di universiti. Malang sekali, selepas ditauliahkan sebagai pegawai simpanan, mereka tidak meneruskan tugas.

Antara sebab perkara itu berlaku kerana mereka sedar tiada istimewa menjadi pegawai simpanan. Mereka dipandang rendah dan tiada pengiktirafan terhadap sumbangan mereka.

Tiadanya pengiktirafan terhadap anggota simpanan bukan sahaja berlaku sekarang, bahkan sejak dahulu lagi. Ini digambarkan melalui gelaran seperti 'askar biji getah', 'askar papan polywood', 'askar gabus' dan 'askar cari elaun'.

Maka, sebab itu ada catatan anggota simpanan yang disiarkan dalam media sosial. Ini antara contoh salah satu surat itu.

----------
   
Wahai masyarakat Malaysia, janganlah anda memandang rendah dengan Askar Wataniah kerana kami adalah barisan pertahanan kedua untuk pertahanan negara. Kebiasaan terdengar masyarakat berkata "oh wataniah je, ingatkan askar betul". Ingat, walaupun kami Wataniah, kami dilatih oleh jurulatih yang mantap dari ATM juga.

Untuk yang bergelar wataniah, jangan malu dan segan untuk mengaku anda adalah wataniah, dan apabila masyarakat bertanya, jawablah dengan yakin anda adalah wataniah@pasukan simpanan ATM.

Tidak sepatutnya anda menyorokkan atau berselindung identiti anda yang bergelar Wataniah atau Simpanan. Sepatutnya anda berbangga kerana anda boleh menyandang 2 tanggungjawab, kerja hakiki dan askar, bukan mudah ye.

Walaupun simpanan sekurang2 nya anda sudah bersiap siaga untuk menjadi barisan pertahanan negara, daripada yang hanya tahu bercakap umpama tin kosong, memperlekeh kekuatan Askar Wataniah.

PERINGATAN !
Tiada istilah "eh askar betul ke wataniah ?"
Hanya ada TETAP atau SIMPANAN sahaja.

----------

Diharap pihak tertinggi ATM, khususnya Asisten Panglima Bahagian Pasukan Simpanan agar mengambil perhatian terhadap perkara ini jika mahu pasukan simpanan mendapat tempat di hati masyarakat. 


3 comments:

  1. Sukarela kerana minat bukan terpaksa.

    ReplyDelete
  2. Kami bukan askar wataniah...kami ada askar perang....

    ReplyDelete
  3. perjuangan dan tujuan kmi adalah sama dgn tetap..sbb kmi sebahgian dri Atm..wlaupon separuh awam..sentiasa siap siaga..

    ReplyDelete