Saturday 17 November 2018

SOKONG RATIFIKASI ICERD

Mereka yang menyokong Malaysia meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menggunakan hujah seorang cendekiawan terkenal Turki yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) seperti disiarkan FMT. Ikuti kandungan FMT berkenaan:

Seorang cendekiawan terkenal Turki yang berpangkalan di AS, turut bersuara dalam perdebatan hangat berkaitan langkah Malaysia menimbang untuk meratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bakal mengikat kerajaan supaya menamatkan semua bentuk diskriminasi kaum dan menjamin hak sama untuk semua.

Mustafa Akyol, penulis pemenang anugerah berhubung isu semasa umat Islam berkata, kumpulan Islam yang membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) harus mengkaji dasar kerajaan Islam silam, termasuk khilafah Othmaniyah Turki berhubung isu persamaan.

“Saya mencadangkan kepada rakyat Malaysia yang membantah ICERD atas alasan Islam membaca perlembagaan khilafah Othmaniyah pada 1876 yang menyebut:

“Semua rakyat empayar adalah dipanggil Othmaniyah, tanpa membezakan antara kepercayaan agama anutan mereka…(dan) semua Othmaniyah adalah sama di sisi undang-undang. Mereka mempunyai hak yang sama dan memikul tanggungjawab yang sama kepada negara, tanpa prejudis kerana agama”.

Ini adalah ICERD yang diterima oleh empayar Othmaniyah 150 tahun dulu.

Kenapa Malaysia mahu ketinggalan?,” kata Mustafa kepada FMT, apabila diminta memberi komen berhubung protes Umno, PAS dan beberapa pertubuhan Islam berhubung langkah Malaysia menyertai triti antarabangsa itu.

Malaysia merupakan sebilangan kecil negara yang tidak menandatangani atau meratifikasi triti tersebut.

Triti berkenaan menyediakan mekanisme kepada individu di seluruh dunia untuk membuat aduan, antara lain, berhubung isu diskriminasi kaum dan boleh dikuatkuasakan ke atas negara anggota.

Secara khusus ia mewajibkan negara anggota menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum, termasuk dalam institusi awam serta dasar kerajaan, yang kini menjadi asas bantahan pertubuhan Melayu.

Bagi mereka, ratifikasi ICERD akan menghakis kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera lain, termasuk peruntukan yang menyediakan kuota tertentu dalam institusi awam seperti ditetapkan dalam Perkara 153 perlembagaan persekutuan.

Mereka juga membantah jadual masa ditetapkan oleh ICERD ke atas negara anggota bagi menghapus dasar program afirmatif, yang dipercayai akan menamatkan dasar Bumiputera yang diamalkan sejak beberapa dekad lepas.

Sesetengah pihak pula memberi amaran bahawa ICERD diasaskan kepada sistem nilai Barat, dan penerimaannya akan membuka jalan kepada pemaksaan nilai lain ke atas kerajaan Malaysia.

Mustafa, yang lawatannya ke Malaysia pada 2017 berakhir secara mengejut apabila jelajah syarahannya dihentikan oleh pihak berkuasa Islam di Kuala Lumpur berkata, membantah ICERD atas hujah Islam adalah merugikan.

“Jika mereka yang berhujah menentang ICERD menggunakan hujah Islam, maka hujah itu juga merugikan,” katanya.

Beliau berkata, hujah bahawa ICERD akan menghapuskan hak Bumiputera juga akan merugikan usaha mengangkat komuniti itu dari segi ekonomi.

“Bergantung kepada status istimewa yang diberikan kerajaan sebenarnya tidak bermanfaat kepada mana-mana kumpulan,” kata Mustafa. “Ia menjadikan kumpulan itu malas, bukannya mendorong kumpulan itu bekerja keras bagi memanfaatkan potensi mereka.”

Beliau memberi contoh perlawanan bola sepak yang memberi kelebihan kepada pasukan tertentu.

“Ia bukan sahaja tidak adil kepada pasukan lain, malah menjadikan pasukan yang diberikan kelebihan kurang berdedikasi dan berdisiplin seperti sepatutnya.”

Mustafa berkata, bantahan kumpulan Islam tertentu terhadap ICERD mungkin disebabkan kegagalan mereka untuk keluar dari sistem Islam klasik yang membahagikan antara rakyat Islam dan bukan Islam.

Katanya sistem sedemikian telah diatasi oleh realiti sejarah.

“Benar, ia merupakan pengalaman sejarah orang Islam, tetapi ia bukan cetak biru yang diwahyukan untuk semua zaman,” katanya.

Beliau berkata, empayar Othmaniyah menyedari perkara ini pada pertengahan abad ke-19 dan memansuhkan sistem dzimmi, dengan memberikan hak kewarganegaraan yang sama kepada orang Kristian dan Yahudi.

Katanya, telah tiba masanya orang Islam belajar menerima nilai yang Islam walaupun ia berasal dari Barat yang “tidak Islam”.

“Nilai Barat akan menunjukkan bahawa semua komuniti agama berhak mengamalkan agama dengan bebas. Apakah ini tidak Islam? Tidak, malah ia selari dengan prinsip al-Quran ‘tiada paksaan dalam agama’.”

Katanya, selain teks dan tradisi agama, manusia perlu bertindak dengan akal waras dan hati budi.

“Mereka yang menggunakannya dengan niat baik, tanpa mengira latar belakang agama dan budaya mereka, boleh menghasilkan idea dan prinsip yang juga baik.”

Sumber:

Ada beberapa soalan untuk ditujukan kepada mereka yang menggunakan hujah Mustafa Akyol untuk menyokong ratifikasi ICERD.

Pertama, “Semua rakyat empayar adalah dipanggil Othmaniyah, tanpa membezakan antara kepercayaan agama anutan mereka…

Soalannya, adakah kaum lain bersedia untuk hanya dikenali rakyat Malaysia berketurunan Malaysia dan hanya menggunakan bahasa Malaysia seperti mana diamalkan di Indonesia. Sekolah aliran Cina dan India dihapuskan dan hanya menggunakan aliran kebangsaan.  

Kedua, adakah dengan mengamalkan dasar itu Turki menjadi lebih baik? Sejarah telah mencatatkan Turki dipanggil 'Orang Sakit Eropah' dan lahirnya Kamal Ataturk yang telah mengubah Turki menjadi negara sekular sehingga sekarang biarpun telah diadakan usaha untuk menjadi negara Islam.

Soalannya, adakah orang Islam bersedia untuk Malaysia bertukar menjadi negara liberal seperti yang diusahakan sesetengah pemimpin sekarang.

Ketiga, adakah langkah kerajaan Othmaniyah memansuhkan sistem dzimmi sebagai islamik? Sistem dzmmi telah diamalkan sejak zaman Rasulullah dan khalifah Islam yang lain.

Soalannya, adakah sistem dzmmi yang diamalkan oleh Rasulullah dianggap sesuatu yang tidak elok?

Kepada penyokong hujah Mustafa Akyol untuk menghalalkan ratifikasi ICERD, berfikirlah dengan matang. Dia bukan rakyat Malaysia dan hidupnya adalah dalam faham liberal. Jadi, tidak hairanlah jika jelajah syarahannya pada 2017 telah dihentikan oleh kerajaan BN dahulu yang telah menghidu sesuatu yang tidak kena dengan pemikiran Mustafa Akyol.

No comments:

Post a Comment