Saturday, 17 November 2018

MELAYU KUAT ISLAM TERBELA


Pesan Hasan Al-Banna: "Jika bangsa Arab terhina, hinalah Islam". Ungkapan pesanan itu sesuai digunakan untuk bangsa Melayu. Jika bangsa Melayu terhina, maka hinalah Islam. Maka, bangsa Melayu mesti menjdi bangsa berkuasa, hebat dan dihormati agar Islam juga dihormati.

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan takrif maksud Melayu sebagai nama suatu bangsa dan bahasa (ter­utama di Semenanjung Malaysia); masuk Melayu a) mengikut cara hidup orang Melayu; b) masuk Islam; memelayukan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, menjadikan bersifat atau menunjukkan ciri-ciri bahasa Melayu: Melayu istilah ilmiah; kemelayuan ciri atau sifat yang memperlihat­kan keperibadian orang Melayu: suasana kampung yang masih terikat erat dengan tradisi dan adat-istiadat Melayunya; golongan yang mahu unsur Melayu diutamakan; pemelayuan perihal (perbuatan dan sebagainya) memelayukan: Melayu istilah.


Manakala Kamus Pelajar Edisi Kedua pula mendefinisikan Melayu sebagai nama asal bangsa yang mendiami seluruh daerah Nusantara di Asia Tenggara serta bahasanya. Nama suku bangsa, terutama sekali di Semenanjung Tanah Melayu: masuk Melayu mengikut cara hidup orang Melayu. memelayukan menterjemahkan ke bahasa Melayu. kemelayuan sifat atau ciri yang menunjukkan keperibadian Melayu.


Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu' sebagai seseorang yang ber agama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.


Justeru, jika salah satu daripada syarat tersebut tidak dipenuhi maka seseorang itu tidak diiktiraf sebagai Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan.


Sebagai contoh, sekiranya seseorang Melayu menjadi murtad atau keluar agama Islam, secara automatik orang tersebut tidak lagi dianggap Melayu menurut undang-undang dan akan terlucut daripadanya hak-hak keistimewaan Melayu yang dinikmatinya sebelum ini. 


Secara tidak langsung, definisi Melayu sebagai Muslim dari satu sudut, dilihat dapat memelihara akidah Islam orang Melayu agar tidak menajdi murtad.


Namun, dari sudut yang lain, terdapat kecenderungan dalam kalangan masyarakat untuk mengaitkan Melayu dengan Islam dalam semua perkara sehingga ke tahap ada yang mengatakan jika seseorang memeluk Islam ia seolah-olah 'masuk Melayu'.


Tidak dapat dinafikan, sentimen 'Melayu itu Islam' dan 'Islam itu Melayu' yang begitu tebal di dalam masyarakat Malaysia adalah disebabkan definisi Melayu sebagai Muslim dan kerana kaum Melayu adalah kaum majoriti di Malaysia.


Melayu layak menikmati hak-hak istimewa Melayu sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.


Perkara 153 tersebut antara lain, memperuntukkan hak-hak istimewa orang Melayu melibatkan kuota-kuota khas di dalam perkhidmatan awam, biasiswa persekutuan, lesen perniagaan dan enrolmen di dalam institusi pengajian tinggi awam.


Selain itu, terdapat juga hak-hak istimewa lain seperti kelayakan pemilikan tanah Rizab Melayu dan pelaburan di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).


Maka itu, berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan, amat penting Melayu memperjuangkan kedudukan Melayunya.  


Dalam konteks penilaian sekarang, Melayu mesti Islam. Kalau setakat tidak fasih berbahasa Melayu tidak ada siapa hendak mempertikaikan sama ada dia Melayu atau tidak.


Pun begitu, Islam tidak sekadar pada nama Melayu. Islam bukan setakat pada pengakuan bahawa dia adalah Islam. Islam mesti dibuktikan dengan amalan. Inilah yang menjadi persoalan adakah orang Melayu sekarang ini Islam?


Perkara ini dibangkitkan kerana banyak orang Melayu sekarang ini hanya Islam pada nama. Sedangkan cara hidup dan amalan yang dilakukan seharian jauh daripada apa yang dianjurkan oleh Islam. 


Maka itu, dalam kita mencari kebenaran bahawa Melayu itu Islam, perlu juga kita melihat kepada perlaksanaan peraturan atau cara hidup yang berkaitan dengan penganut agama Islam. Kita tidak mahu Islam hanya pada nama sahaja. 

No comments:

Post a Comment