Tuesday 11 December 2018

GAJI KECIL TAPI BERKAT

Secara literal kita mengukur gaji kita melalui angka yang kita peroleh pada setiap bulan. Tetapi kenapa ada yang bergaji RM5,000 tapi tak mampu menyimpan, manakala yang bergaji RM2,000 pula mampu menabung untuk masa depan?

Apabila tiada keberkatan gaji, datanglah bermacam-macam dugaan. Walau gaji besar, dicampakkan ke dalam hatinya nafsu untuk bergaya dan joli merata-rata. Kereta mahal tetapi sering rosak kena baiki. 

Gaji besar atau banyak mana sekalipun, jika seseorang pekerja itu tidak jujur, culas dan menyalahgunakan kuasa, akan hilang keberkatan dalam gajinya. Sebab itu kita banyak mendengar keluhan atau rungutan dari rakan-rakan sekerja dalam apa jua sektor sekalipun yang gaji mereka tak cukup walaupun sudah mencecah lima angka. 

Keberkatan rezeki antara perkara utama yang mesti dan perlu dititikberatkan dalam hidup. Rezeki bukan sekadar wang, harta, makanan dan minuman. Sebaliknya jodoh, anak, pangkat, nama baik, kedudukan dan sebagainya juga boleh disebut sebagai rezeki.

Rezeki yang dicari dan diusahakan itu pula dibuat belanja untuk beli makanan atau bagi yang sudah berkeluarga dibawa pulang ke rumah untuk diberi makan anak isteri.

Ada orang memandang ringan isu keberkatan rezeki ini. Pada mereka ia hanya isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Mereka tidak sedar wujudnya hubungan langsung antara keberkatan rezeki dan setiap aspek kehidupan kita.

Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan rezeki tidak berkat. Pertama adalah yang kita nampak akan hukumnya dalam Islam iaitu rezeki yang datang daripada sumber pendapatan yang haram seperti berjudi, rasuah, mencuri, menipu dan seumpamanya.

Tidak kurang juga bahayanya adalah apabila kita tidak menyedari bahawa secara halus rezeki itu boleh hilang keberkatan apabila kita yang dibayar upah atau digajikan untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau memikul sesuatu tugasan tetapi tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh atau melakukannya dengan tidak sempurna.

Lazimnya ia berlaku di tempat kerja seperti curi tulang, datang lewat, malas, menipu majikan, kerja tidak bersungguh-sungguh, melakukan kerja lain dalam waktu bekerja, tidak serius ketika bekerja, dengki, iri hati dan seumpamanya.

Carilah keberkatan dalam urusan mencari rezeki semoga dipermudahkan dan mendapat kebahagiaan atas apa yang diperoleh itu.

No comments:

Post a Comment