Tuesday 8 January 2019

MEMAHAMI HUKUM KARMA


Ungkapan kata 'hukum karma' dirujuk kepada pembalasan yang diterima di dunia akibat melakukan sesuatu perkara sama ada baik atau buruk.  

Namun sedarkah anda bahawa hukum karma adalah sesuatu fahaman dan pandangan dalam agama Hindu dan lain-lain, yang mana sangat jauh terpesong daripada ajaran Islam.

Jika dilihat dari lenggok gaya bahasanya, sememangnya hukum karma ini adalah seolah-olah sama dan seumpama dengan ajaran Islam. Namun jika kita teliti dan selami dengan lebih dalam, ia merupakan sesuatu yang sangat berbeza.

Karma merupakan konsep utama dalam agama Hindu, Buddha, Jainisma, Sikh dan Taoi. Ia membawa maksud sesuatu perbuatan atau niat sesuatu individu akan dibalas kembali menurut hukum alam atas apa yang telah dilakukannya.

Perbuatan yang baik akan memberikan kepada balasan dan karma yang baik. Manakala perbuatan yang buruk pulak akan mengundang keburukan dan karma yang tidak baik. 

Jadi bagi mengelakkan penganut agama Hindu daripada dilahirkan semula dalam keadaan yang buruk atau seperti binatang, mereka perlu melakukan perbuatan yang baik untuk mendapatkan karma yang baik. 

Jika mereka gagal untuk mendapatkan karma yang baik maka mereka akan dilahirkan semula selepas dimasukkan ke neraka untuk sementara waktu.

Menurut salah sebuah kitab dalam agama Hindu iaitu Chandogya Upanishad, doktrin karma memberitahu yang mana sesiapa yang bersifat terpuji akan dimasukkan ke dalam rahim baik kaum Brahmin, Kshatriya atau Vaisya. Makala mereka yang bersifat buruk akan dimasukkan ke dalam rahim busuk seekor anjing atau khinzir.

Tiada istilah kelahiran semula dalam ajaran agama Islam. Allah hanya menciptakan kehidupan seseorang itu hanya untuk sekali sahaja dan akan juga dimatikan sekali sahaja.

Umat Islam hanya akan dibangkitkan sekali sahaja selepas mati iaitu ketika menjelangnya hari kiamat di mana segala amal dan dosa akan dihitungkan dan diberikan ganjaran syurga atau neraka mengikut amalan masing-masing. Jadi dengan ini maka tertolaklah dengan nyata akan hukum karma ini.

Jadi, bagaimana pula pendekatan Islam berkaitan pembalasan apa yang dilakukan? Setiap apa yang dilakukan sama ada baik dan buruk akan menerima pembalasan biarpun sekecil mana perbuatan itu. Pembalasan itu akan diterima di akhirat nanti iaitu selepas kematian dan berlakukannya khiamat yang juga dikenali sebagai hari pembalasan.

Adakah istilah pembalasan di dunia atas apa yang dilakukan di dunia ini. Ya. Ada pembalasan. Ada perbuatan yang dilakukan mendapat pembalasan 'cash' di dunia ini sama ada baik atau jahat.

Perbuatan baik dibalas dengan cara Allah mengurniakan kebaikan kepada dirinya seseorang sama ada dalam bentuk rezeki, kesihatan, ketenangan dan sebagainya.

Manakala keburukan yang dilakukan pula dibelas dalam bentuk keburukan yang disebut kifarah. Kifarah adalah balasan di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh hambanya daripada Allah SWT dan juga mungkin dalam pelbagai bentuk ujian.

Contohnya seperti kematian orang yang dikasihi, dijangkiti penyakit pelik, kehilangan dan kerosakan harta benda, tidak tenang dalam hidup dan sebagainya. Kifarah atau balasan ini tidak tertakluk kepada jumlah masa yang ditentukan, yakni selagi ia belum menepati ketentuan Allah, maka ujian tersebut tidak akan terhenti walaupun pelbagai usaha dilakukan.

Namun perlu difahami bahawa dengan ujian inilah Allah SWT menunjukkan bahawa Dia kasih akan hambanya. Dengan ujian yang diberikan, Allah juga akan memberikan kesabaran dalam menempuhinya. 

Selain itu, martabat seseorang itu akan dinaikkan bukanlah dengan amalan-amalan yang dilakukannya tetapi dengan kesabarannya terhadap segala ujian yang diberikan Allah.

Juga, kifarah terhadap manusia oleh Allah SWT bukanlah semata-mata untuk membalas perbuatan jahat mereka, namun ia juga adalah untuk menghapuskan dosa yang lalu supaya ia tidak terbeban oleh kita di hari akhirat nanti dengan dosa yang bertimbun. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Di dalam setiap balasan pasti ada hikmahnya.

Saidatina Aishah meriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda: "Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri, ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Terdapat perbezaan yang ketara antara hukum karma dan kifarah ini. Ya benar kedua-dua adalah suatu pembalasan namun kaedah dan hikmahnya sangat terpesong jauh. 

Contoh lain lagi, bagi penganut Hindu, mereka akan dilahirkan sebagai binatang dalam kelahiran semula jika karmanya buruk di kehidupan lalu, namun bagi umat Islam, dosa menderhaka kepada ibu bapa akan dibalas secara terus di dunia ini tanpa menunggu pendosa itu untuk mati terlebih dahulu, kerana penghidupan semula bagi umat Islam hanyalah ketika dibangkitkan pada hari kiamat.

Bagi umat Islam, mempercayai sesuatu yang seperti hukum karma ini yang mana mengikut fahaman agama Hindu (dilahirkan semula) boleh memesongkan akidah dan terkeluar dari Islam.

Namun, tidak menjadi kesalahan jika maksud karma itu merujuk kepada pembalasan di dunia atas apa yang dilakukan dan bukan merujuk kepada apa-apa kefahaman mengikut agama lain.

Pun lebih baik, jika kita melazimkan menggunakan perkataan kifarah bagi merujuk pembalasan buruk yang diterima akibat perbuatan buruk yang dilakukan. 

Penggunaan perkataan kifarah akan lebih memberi kefahaman bahawa itu adalah pembalasan daripada Allah yang dibayar cash di dunia. Semoga ia menjadi pengajaran kepada kita semua.

No comments:

Post a Comment