Thursday 21 February 2019

MENGAPA PERLU MULA BEKERJA USIA MUDA


Kejayaan tidak dapat dicapai dengan mudah dalam tempoh yang singkat. Ramai yang berusaha dari usia muda hanya mencapainya setelah berusia awal 40an atau kira-kira setelah 20 tahun berusaha. Bahkan ada yang hanya mencapai kejayaan setelah usia melepasi 50 tahun.

Bayangkan jika usaha hanya dimulakan ketika usia sudah melepasi 30 tahun, bilakah akan mengecapi kejayaannya. Mungkinkah selepas umur 60 tahun, ketika usia sudah di penghujung. 

Sebab itu, usia muda amat elok memulakan alam pekerjaan. Permulaan dalam alam pekerjaan memberi peluang untuk memikirkan langkah seterusnya. Sebelum ada permulaan, tidak akan ada perancangan seterusnya. 

Ketika usia muda masih belum ada tanggungan atau belum berkahwin. Pergerakan lebih bebas dan ruang masa yang lebih boleh diberikan kepada memajukan diri dalam kerjaya. Tumpuan lebih dalam kerja membuka peluang untuk berjaya lebih besar.

Bekerja awal juga sebagai persiapan untuk menempuh alam perkahwinan. Setiap lelaki dan perempuan tidak terkecuali daripada berkahwin apabila tiba jodohnya. Persiapan menempuh alam perkahwinan termasuklah dalam soal kewangan. 

Jika belum mempunyai pekerjaan tentu sukar bagi seorang lelaki yang bakal menjadi ketua keluarga untuk berkahwin. Begitu juga jika baru bekerja beberapa bulan sudah merancang ingin berkahwin akan menimbulkan masalah. Sebab itu persiapan awal dengan bekerja awal sebaik selepas peluang pekerjaan ada amatlah perlu. 

No comments:

Post a Comment