Setiap Ramadan dan Syawal pasti ada
berlaku kecelakan tragedi akibat bermain mercun. Kecederaan dialami bermain
mercun agak parah sehingga kehilangan tangan. Mangsa bermain mercun bukan
sahaja kanak-kanak, bahkan turut melibatkan orang dewasa. Mangsa bermain mercun
mengalami kecacatan kekal.
Mengapakah berlaku kecelakaan
bermain mercun? Bermain mercun bukan
budaya Islam. Amalan membakar mercun adalah budaya masyarakat Cina setiap kali
menyambut perayaan atau meraikan sesuatu kejayaan. Peliknya, semasa perayaan
Tahun Baru Cina tidak pula ada laporan mengenai kecelakaan akibat bermain mercun.
Mercun dan bunga api diharamkan di
negara kita. Agensi kerajaan seperti polis dan kastam sentiasa bertindak tegas
untuk membenteras penyeludupan dan penjualan mercun.
Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957
memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki atau
mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda
RM10,000 atau kedua-duanya.
Mereka
yang menyimpan mercun juga boleh didakwa di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta
Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki barangan larangan. Jika sabit kesalahan, pihak yang terlibat
boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda dan tidak melebihi 20 kali ganda
nilai barangan itu atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Ibu bapa jangan berkompromi dengan
isu mercun. Biarlah anak merengek dan merayu, tetapi jangan sekali-kali
membenarkan mereka bermain mercun. Carilah altenatif lain untuk berhibur
menyambut perayaan.
Tindakan ibu bapa yang membeli
mercun untuk anak bermain samalah seperti memberikan mereka sebutir bom. Banyak
kes kecelakaan mercun melibatkan yang dibeli oleh ibu bapa sendiri. Itu satu
jenayah besar bapa terhadap anak. Kesan kecederaan akibat mercun ditanggung
oleh anak seumur hidup, bahkan ada melibatkan kes kematian.
Selain mercun dan bunga api yang
dibeli, kanak-kanak peringkat umur pertengahan banyak menjadi ‘pakar’ bahan
letupan. Mereka menggunakan minyak goeslin dan karbaid untuk menghasilkan bunyi
yang kuat hasil pembakaran dalam tong, batang besi maupun buluh.
Tidak kurang juga yang ingin
meningkatkan kuasa letupan dan bunyi mercun dengan cara di masuk ke dalam
batang besi atau bahan lain. Belerang daripada mercun atau bunga api disatukan
dan dimampatkan untuk menghasilkan letupan yang lebih kuat.
Semangat ‘sainstis’ dan berani ini
ternyata tidak bertempat. Semangat itu perlu disalurkan pada tempat yang
sepatutnya. Kita mengharapkan lebih ramai pelajar yang berjiwa sainstis, tetapi
bukan melalui kajian dan praktikal berkaitan mercun.
Kebanyak kes kecelakaan disebabkan
perbuatan mengubahsuai mercun atau ‘meriam’ buatan sendiri. Kes begini biasanya
melibatkan beberapa orang mangsa disebabkan kanak-kanak bermain secara
berkumpulan atau sebagai penonton.
Dengan kata lain, ibu bapa tidak
harus berpuas hati hanya kerana anak tidak menjadi ‘pemain’ mercun. Tetapi,
juga mesti menjauhkan diri daripada sebarang tempat kanak-kanak bermain mercun.
Jangan biarkan mereka menjadi 'penumpang' kecelakaan akibat perbuatan orang
lain.
No comments:
Post a Comment