Aidilfitri adalah hari kemenangan
setelah berjaya melawan hawa nafsu sepanjang melaksanakan ibadat puasa Ramadan.
Hari kemenangan itu perlu disambut dengan perasaan gembira, namun dalam batasan
syariat. Pada hari kemenangan itu disunat perbanyakkan istighfar, tasbih dan
tahmid, sebaik berakhirnya Ramadan terutama menjelang malam raya sehinggalah ke
pagi hari raya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya (Aidilfitri dan Aidiladha)
dengan takbir dan ibadah, tidak dimatikan hatinya pada hari dimatikan segala
hati." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Aidilfitri bukan sambutan
berdasarkan adat dan kehendak nafsu, sebaliknya satu anugerah yang termasuk
dalam ibadat. Sebab itu, sambutan perlu dilakukan mengikut tuntutan syariat
dengan memperbanyakkan kebaikan dan menjauhkan apa yang dilarang. Namun dalam
melaksanakan amalan sepanjang merayakan Aidilfitri hendaklah kita mengetahui
mana amalan sunah Rasulullah SAW dan mana pula yang menjadi ritual atau adat
dalam masyarakat.
Sungguh jauh berbeza antara
Aidilfitri yang disambut sebagai ibadat dengan yang hanya berupa adat. Setiap
ibadat adalah mengikut apa disyariat, melakukan kerana Allah SWT dan tidak
bercampur dengan perkara maksiat. Sedangkan adat mengikut kebiasaan yang
diamalkan sejak turun temurun dalam masyarakat.
Menurut
ketentuan sunah, pada Hari Raya Aidilfitri, kita dianjurkan mengucapkan "taqaballahu
minna wa minkum" yang bermaksud "semoga Allah menerima (amalan) dari kami
dan kamu”.
Selain
itu, sudah menjadi kebiasaan kita saling mengucapkan "minal aidin wal
faizin" yang bererti"semoga
Allah menjadikan kita orang kembali (fitrah) dan beroleh kemenangan yang
besar".
Diceritakan
bahawa mengucapkan minal aidin wal faizin itu adalah kebiasaan para sahabat di
zaman dahulu kerap mengucapkan kata-kata itu apabila mereka kembali dari medan
perang dengan mengibarkan bendera kemenangan.
Namun,
dalam masyarakat kita, ucapan yang lebih kerap diucapkan ialah ungkapan
"selamat hari raya". Tidak salah ucapan itu, tetapi dalam segi
maksudnya tidak membawa apa-apa erti. Kosong. Justeru lebih elok kita ucapkan
"taqaballahu minna wa minkum" dan "minal aidin wal faizin".
Pada hari mulia ini masa yang paling
baik untuk bermaaf-maafan. Segala yang keruh dibuang, sebaliknya ambillah yang
jernih. Islam amat mengutamakan amalan memberi kemaafan untuk melahirkan hidup
yang sejahtera dan harmoni. Dosa melibatkan sesama manusia hanya terampun jika
mendapat kemaafan daripada orang berkaitan.
Hakikatnya, amalan bermaaf-mafaan
tidak hanya terhad pada Aidilfitri. Islam menganjurkan agar kemaafan terus
dipinta sekiranya telah melakukan kesalahan. Kaitan amalan bermaafan pada hari
raya sebagai menzahirkan kebersihan diri daripada dosa hasil melaksanakan
ibadat puasa.
Sebenarnya sambutan Aidilfitri hanya
pada 1 Syawal. Pada 2 Syawal dan hari seterusnya sudah dibenarkan berpuasa
sunat Syawal dan puasa-puasa sunat lain, termasuk puasa ganti. Kebiasannya
penganut Islam di negara-negara Arab hanya menyambut Aidilfitri pada 1 Syawal,
atau jika diteruskan lagi sekadar untuk dua tiga hari.
Bagaimanapun tidak dilarang untuk terus menyambut atau melakukan acara yang
dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri selepas tarikh 1 Syawal selagi apa yang
dilakukan itu tidak bertentangan syariat.
Namun apa yang ditakuti ialah
kecenderungan masyarakat kita beraya sakan sepanjang bulan Syawal. Malah ada
yang mengaitkan sambutan sebulan itu sebagai satu tuntutan agama. Sekiranya
berpuasa sepanjang bulan Ramadan, maka dikatakan sepanjang Syawal pula untuk
berhari raya. Lirik sebuah lagu raya berbunyi 'kita beraya selama sebulan'.
Raya disambut meriah termasuk di
kalangan mereka yang tidak berpuasa. Mereka menyambut Aidilfitri bukan kerana
melaksanakan ibadat puasa, tetapi bergembira
tidak perlu lagi makan sembunyi-sembunyi pada tengah hari.
No comments:
Post a Comment