Sunday, 26 May 2019

PERLUKAH RAIKAN SYAWAL SELAMA SEBULAN


Sebenarnya sambutan Aidilfitri hanya pada 1 Syawal. Pada 2 Syawal dan hari seterusnya sudah dibenarkan berpuasa sunat Syawal dan puasa-puasa sunat lain, termasuk puasa ganti. 

Kebiasannya penganut Islam di negara-negara Arab hanya menyambut Aidilfitri pada 1 Syawal, atau jika diteruskan lagi sekadar untuk dua tiga hari.  

Bagaimanapun tidak dilarang untuk terus menyambut atau melakukan acara yang dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri selepas tarikh 1 Syawal selagi apa yang dilakukan itu tidak bertentangan syariat.

Namun apa yang ditakuti ialah kecenderungan masyarakat kita beraya sakan sepanjang bulan Syawal. Malah ada yang mengaitkan sambutan sebulan itu sebagai satu tuntutan agama. 

Sekiranya berpuasa sepanjang bulan Ramadan, maka dikatakan sepanjang Syawal pula untuk berhari raya. Lirik sebuah lagu raya berbunyi 'kita beraya selama sebulan'.

Beraya sepanjang Syawal bukan tuntutan syariat. Pun amalan itu tidak pula ditegah. Apa yang diamalkan beraya sebulan dalam masyarakat kita adalah adat. Oleh itu jangan terkeliru antara adat dan ibadat.   

Adat yang dilakukan untuk kebaikan tidak ditegah, bahkan digalakkan. Ganjaran pahala bergantung kepada niat ikhlas mencari kebaikan dan keredaan Allah SWT, tetapi mesti tidak bertentangan dengan syariat.

Ibadat dan adat, kedua-duanya dipatuhi dalam masyarakat kita, tetapi sumber hukumnya berbeza. Ibadat bersumberkan daripada perintah Allah SWT, sementara adat pula bersumberkan kehendak dan kebiasaan dalam masyarakat yang menjadi amalan turun-temurun.

Kejahilan pengetahuan mengenai agama menyebabkan ada ibadat menjadi adat, tidak mendapat apa-apa pahala biarpun dilakukan dengan penuh syaratnya, kecuali niat yang lebih menjurus kepada adat. 

Pun begitu, perlu diketahui ada adat yang menjadi ibadat atau diterima sebagai satu amalan dalam Islam. Dalam fikah Islam, sesuatu yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat yang tidak bertentangan dengan syariat Islam diterima sebagai sesuatu yang baik baik untuk diamalkan. Ia merupakan salah satu daripada lima kaedah asas dalam al-Qawaid al-Fiqhiyyah.

Untuk diterima sebagai satu amalan yang baik, hendaklah dijauhi atau bercampur dengan perkara haram. Contohnya, bagi wanita hendaklah mengelak daripada berpakaian yang mendedahkan aurat. 

Begitu juga, batasan hubungan antara lelaki dan perempuan juga mesti dijaga agar tidak terlibat perbuatan haram.

Turut perlu diberi penekanan ialah menolak sikap membazir ketika sambutan Aidilfitri. Jauhkan juga sikap yang ditegah seperti bongkak, sombong, riak dan ingin menunjuk-nunjuk kehebatan yang dimiliki.

No comments:

Post a Comment