Sunday, 26 May 2019

PERLUKAH DUIT RAYA DIBERIKAN SEMASA AIDILFITRI



Satu amalan masyarakat Malaysia adalah pemberian duit raya. Duit raya diberikan terutama kepada kanak-kanak yang hadir berhari raya di rumah atau majlis hari raya.

Muktakhir ini pula orang dewasa juga disediakan wang raya oleh majikan atau organisasi untuk perbelanjaan hari raya.

Adakah ia satu keperluan dalam agama atau hanya suatu budaya? Kalau pemberian itu suatu keperluan, maka ia akan menjadi suatu perkara yang rumit bagi golongan yang kurang berkemampuan.

Jika amalan tersebut menjadi suatu budaya pula, ditakuti ia hanya tradisi masyarakat atau adat kebiasaan dan bukan dilihat sebagai ibadat bersedekah yang dianjurkan dalam Islam.

Oleh itu, konsep pemberian duit raya seharusnya berpaksikan tujuan dan niat yang jelas bertepatan dengan sepotong hadis Nabi yang menganjurkan umatnya bertukar-tukar hadiah kerana ia mengundang perasaan mahabbah sesama Islam.

Nabi SAW bersabda bermaksud: "Bertukar-tukarlah hadiah atau pemberian, nescaya kamu akan berkasih sayang dan menghilangkan perasaan benci. (Riwayat Baihaqi)

Biarpun hadis itu adalah umum mengenai hadiah dan pemberian yang tidak dikhususkan pada Aidilfitri, namun tidak salah dikaitkan juga dengan duit raya. Hadis itu menyebut mengenai wujud gesaan bertukar hadiah yang boleh mewujudkan perasaan kasih sayang.

Ada juga hadis yang menyebut agar kita dapat mewujudkan atau menimbulkan kegembiraan di hati saudara-saudara kita yang lain.

Maksud sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang menimbulkan kegembiraan di hati mana-mana penghuni rumah, nescaya Allah tidak meredai baginya melainkan diberikan pemberian syurga-Nya. (Hadis riwayat Tabrani)

Lantaran itu, eloklah kita serikan dan meriahkan hari lebaran terutama di kalangan golongan yang kurang bernasib baik, kurang berada atau kanak-kanak.

Bagaimanakah pula bagi yang tidak mampu tetapi apabila melihat orang lain memberi duit raya, maka dia terpaksa juga memberinya?

Kepada yang tidak mampu, tidak perlu menyediakan duit raya. Tidak perlu terikut-ikut kemampuan orang lain. Jangan kerana hendak beri duit raya sehingga berhutang atau menafikan hak keluarga sendiri.

Kepada ibu bapa, didiklah anak-anak agar bila pergi berhari raya jangan harapkan hendak duit raya. Jangan sekali-kali meminta atau lebih teruk lagi memaksa orang memberikan duit raya untuk mereka.

No comments:

Post a Comment