Friday 24 May 2019

AK 9 - IBU LARANG ANAK CUCU BALIK RAYA

Ibu larang anak dan cucu balik raya. Ini kes sudah terbalik. Kita biasanya mendengar ibu bapa merayu atau mengharapkan agar anak dan cucu pulang berhari raya. Manakala, pasangan suami isteri pula sanggup 'bergaduh' untuk pulang ke rumah ibu bapa masing-masing.

Hari raya adalah peluang untuk seluruh ahli keluarga berkumpul dan bergembira sambil mengeratkan persaudaraan. Sesiapa yang tidak dapat balik berhari raya bersama keluarga akan berasa amat sedih dan hilang kemeriahan hari raya.

Jadi, sesuatu yang amat pelik apabila ibu melarang anak dan cucu balik raya. Apakah sebabnya? Adakah kerana krisis atau perbalahan dalam keluarga?

Cerita benar ini, mengikut cerita seorang kawan, berlaku disebabkan krisis kegawatan bekalan air akibat kegagalan AKSB membekalkan air bersih kepada pengguna.

Ibu tidak sanggup melihat anak dan cucu-cucu berhari raya tanpa air. Kalau sudah ramai berada di rumah, tentu sekali banyak air yang diperlukan.

Apa guna hari raya kalau tidak mandi dengan badan berbau busuk. Hendak memasak pun tidak dapat dilakukan. Kerja memasak dan membasuk pinggan mangkuk serta periuk belanga memerlukan banyak air. Itu tidak masuk lagi kencing dan berak cucu yang tidak tentu masa.

Jadi, langkah 'bijak' ibu untuk mengelak situasi itu ialah dengan 'mengarahkan' anak dan cucu tidak balik raya.

Kepada pengurusan AKSB, bertindaklah untuk mengatasi masalah gangguan bekalan air untuk kesejahteraan rakyat Kelantan. 

No comments:

Post a Comment