Friday, 28 June 2019

BAYARAN TOL JAMBATAN SULTAN YAHYA PETRA

Tahukah anda kerajaan Kelantan adalah yang kedua memperkenalkan banyaran tol di Malaysia? Pada ketika itu ia dikenali sebagai cukai. Tol itu dikenakan kepada pengguna Jambatan Sultan Yahya Petra.

Pembinaan jambatan telah bermula 14 September 1962 selepas majlis perletakan batu asas oleh Sultan Yahya Petra Ibni Sultan Ibrahim. Nama jambatan itu mengambil sempena nama baginda.

Jambatan Sultan Yahya Petra adalah jambatan pertama merentasi Sungai Kelantan menghubungkan Kota Bharu di sebelah timur dan Tumpat di sebelah barat.

Kos pembinaan keseluruhan berjumlah $5 juta ($ adalah tanda bagi matawang Malaysia ketika itu). Jumlah itu meningkat berbanding jangkaan awal hanya sekitar $3 juta sahaja.

Memandangkan peningkatan kos pembinaan yang ketara itu, bagi menampungnya, pada 16 Mac 1965, Kerajaan PAS Kelantan mengumumkan pengguna Jambatan Sultan Yahya Petra akan dikenakan kutipan tol. Ini menjadikan ia laluan awam kedua di Malaysia yang dikenakan tol. 

Laluan pertama di Malaysia dikenakan tol ialah jalan yang menghubungkan Slim River ke Tanjung Malim dibuka pada bulan Mac 1964.

Jambatan Sultan Yahya Petra dibuka dengan rasminya pada 17 April 1965 oleh Sultan Yahya Petra Ibni Sultan Ibrahim, Sultan Kelantan pada ketika itu. Tarikh tersebut adalah sehari sebelum Konvensyen Agong PAS yang diadakan di Kota Bharu bermula 18 April 1965.

Pada awal pagi 9 Julai 1978, penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) telah memusnahkan rumah tol di atas jambatan tersebut setelah BN berjaya memenangi pilihan raya negeri.

Rumah tol itu berada di tengah jalan bahagian sebelah Kota Bharu yang memunggut bayaran tol keluar dan masuk Kota Bharu. Kadar tol dikenakan 0.50 sen.

Semenjak itu, kutikan tol telah dihentikan seiring dengan janji BN Kelantan dalam dalam pilihan raya itu.

Sekarang ini Kelantan adalah satu-satunya negeri di Semenanjung yang tidak ada sebarang bentuk tol kepada pengguna jalan raya, lebuh raya mahupun jambatan.

No comments:

Post a Comment