Seseorang boleh dijangkiti Hepatitis B atau C
apabila terdedah secara langsung dengan darah daripada seseorang yang
dijangkiti menerusi luka, perkongsian jarum dan hubungan seks. Ia juga boleh
menular daripada ibu kepada bayi ketika proses kelahiran.
Oleh itu, satu cara untuk mengelak seseorang terkena
Hepatitis B atau C ialah mengelak berkongsi alat kebersihan diri peribadi
seperti ketip kuku, berus gigi, pisau cukur dan sebagainya.
Alat kebersihan seumpama itu boleh
menyebabkan luka di mana virus boleh menular.
Pesakit hepatitis juga dinasihatkan agar
tidak menderma darah kerana ia boleh menyebabkan jangkitan kepada penerima
darah.
Amalan hubungan seks secara selamat juga
dapat mencegah daripada penularan jangkitan.
Hepatitis adalah penyakit yang menyebabkan
keradangan hati akibat jangkitan virus hepatitis A, B, C, D dan E.
Hepatitis A dan E biasanya disebabkan oleh
pengambilan makanan atau air yang tercemar manakala jenis B, C dan D membawa
kepada penyakit kronik dan merupakan punca utama kepada sirosis (parut) hati
dan kanser hati.
Di Malaysia, kadar notifikasi hepatitis B
menunjukkan peningkatan dalam masa lima tahun iaitu daripada 12.94 orang bagi
setiap 100,000 penduduk pada 2014, kepada 14.52 orang bagi setiap 100,000
penduduk pada 2018.
Bagi hepatitis C pula, dianggarkan 3,000 kes
jangkitan baharu dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) setiap tahun.
Tahun 2018, 2,842 kes baharu Hepatitis C dilaporkan dengan kadar notifikasi
8.77 bagi setiap 100,000 penduduk.
No comments:
Post a Comment