Hari ini kita mendengar
berita tentang kematian orang lain. Esok lusa, orang lain pula akan mendengar
berita kematian kita.
Setiap bernyawa pasti
akan mati. Tiada yang kekal di dunia ini, melainkan Allah Maha Pencipta. Saat kematian
merupakan garisan pemisah antara kehidupan di alam dunia dengan kehidupan alam
berzakh sebelum menuju ke alam baqa di akhirat nanti.
Terpisahnya roh
daripada badan, maka tamatlah tempoh bagi manusia melaksanakan tugas di dunia. Pada
masa yang sama maka terputuslah hubungannya dengan dunia, yakni tugasnya
sebagai khalifah dan juga peluang untuk menambahkan kebaikan, melainkan dirinya
ketika hidup telah melakukan tiga perkara iaitu melahirkan anak yang soleh,
mengajar ilmu berguna dan sedekah jariah.
Sabda Rasulullah
bermaksud: “Apabila meninggal seorang anak Adam, maka terputuslah segala
amalannya, kecuali tiga perkara yang terus memberi manfaat kepadanya, iaitu
sedekah jariah, ilmu diajarkan yang berguna dan anak soleh yang sentiasa
mendoakan kebaikan kepadanya.” - (Hadis riwayat Muslim).
Kematian merupakan
perjalanan manusia mengadap Allah bagi menerima balasan di atas apa yang telah
dilakukan. Sesungguhnya Allah tidak pernah mungkir janji. Jadilah hamba-Nya
yang tidak terpedaya dengan kehidupan ini sehingga melupai akan kematian yang
sentiasa di hadapannya.
Firman Allah
bermaksud: “Setiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari
kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu.
Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga,
maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia
ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah
kesenangan bagi orang-orang terpedaya.” - (Surah Ali Imran, ayat 185).
Kematian merupakan
peristiwa penting dalam kehidupan manusia, selain tarikh lahir yang sering
disambut setiap ulang tahunnya. Justeru, ia wajar diingati dan dijadikan
pengajaran agar bersedia untuk menghadapi saat tersebut. Dengan mengingati
kematian, diharapkan mengingatkan seseorang tentang tujuan sebenar kehidupan
ini.
Manusia dicipta Allah
dan telah ditetapkan tugas seperti mana telah dijelaskan oleh Allah dalam
firman-Nya bermaksud: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk
mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” - (Surah adz-Dzariyat, ayat 56).
Sesungguhnya setiap
manusia yang dilahirkan ke dunia telah menyatakan persetujuan untuk taat kepada
Allah dan melaksanakan apa yang diperintahkan. Soal kita tidak mengingati pengakuan tersebut
diucapkan ketika di alam sebelum kelahiran dahulu, bukan alasan untuk menolak
persetujuan itu.
Maksud menyembah dan
beribadat kepada Allah tidak hanya melaksanakan ibadat khusus seperti
sembahyang, menunaikan zakat dan ibadat yang secara jelas diarah dilakukan. Sebaliknya,
konsep menyembah dan beribadat itu merangkumi setiap detik kehidupan manusia
yang dilalui.
Sesiapa melakukan
segala apa yang disuruh dan menjauhkan apa dilarang dikira telah melakukan
ibadat menepati seperti apa dikehendaki-Nya. Panduan apa disuruh dan apa
dilarang terkandung dalam al-Quran dan hadis, serta keputusan para ulama
berkaitan sesuatu perkara berdasarkan kepada kedua-duanya.
No comments:
Post a Comment