Islam menggalakkan
agar selalu mengingati kematian, bertujuan menyedarkan seorang tentang usia
dihabiskan adakah sebagai hamba bertakwa atau sebaliknya. Sesungguhnya saat
kematian tidak mengenal usia.
Kematian tidak hanya datang apabila usia sudah
tua atau mengidap penyakit berbahaya. Sebaliknya, kematian boleh berlaku
bila-bila masa tanpa mengira usia, tidak kira bayi dalam kandungan,
kanak-kanak, remaja dan tambah-tambah lagi orang tua.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: “Dan bagi setiap umat ada tempoh masanya (yang telah ditetapkan),
maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka melambatkan walaupun sesaat,
dan tidak dapat pula mereka mempercepoatkannya.” (Surah al-Araf, ayat 34).
Memandangkan kematian
itu pasti, tidak siapa dapat mengelak daripada menghadapinya. Tidak ada
teknologi, ilmu atau kuasa lain yang dapat mengelak daripada saat kematian,
biarpun berada di mana sekalipun.
Usaha manusia
mencipta teknologi proses beku yang baru diperkenalkan bagi melanjutkan usia
manusia (manusia dikomakan dan kemudian disedarkan kembali pada masa akan
datang) tidak akan mengelak daripada kematian kemudiannya.
Allah menjelaskan
dalam surah an-Nisa, ayat 78 tentang tidak ada siapa dapat melepaskan diri
daripada maut bermaksud: “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu
(bila tiba ajalnya), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi
kukuh.”
Membincangkan soal
kematian bukan bertujuan menakut-nakutkan atau menimbulkan kesan negatif. Rasulullah
menyifatkan orang yang selalu mengingati mati sebagai manusia paling bijaksana.
Hadis diriwayatkan
oleh Abu Daud bermaksud: “Orang yang paling bijaksana ialah orang yang
bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi
kematian. Manakala orang paling rugi ialah orang yang terikut-ikut pujukan
hawa nafsu dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.”
Sesungguhnya dengan
mengingati kematian, manusia akan sedar ke mana akhir hidupnya ini. Dunia ini
tidak didiami untuk tempoh masa lama, melainkan lebih kurang dengan sanak
saudara, rakan orang yang lain yang telah meninggal dunia.
Sebaliknya, matlamat
kehidupan ialah di alam akhirat yang kekal. Kehidupan di sana ditentukan
sepenuhnya apa yang dilakukan di dunia. Setiap apa dilakukan akan mendapat
pembalasan setimpal tanpa dilebihkan atau dikurangkan.
Firman Allah
bermaksud: “Siapa melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah akan tetap diberi
pembalasan. Dan barang siapa melakukan kejahatan walaupun sebesar zarah, maka
dia juga tetap akan diberi pembalasan.” - (Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8).
Setiap apa diusahakan
oleh manusia di dunia ini tetap diberikan pembalasan. Oleh itu, sekiranya apa kebaikan dilakukan
jika tidak mendatangkan keuntungan di dunia, bersedialah menerima pembalasan
lebih berharga di akhirat nanti. Allah tidak menghampakan harapan orang
melakukan kebaikan kerana-Nya.
Dalam surah
al-Insyiqaq, ayat 6 bermaksud: “Wahai manusia!
Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat lelah (menjalankan keadaan
hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (ketika engkau) kembali kepada
Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa engkau usahakan itu
(tercatat semuanya).”
Bagi hamba yang
melaksanakan tugas seperti mana diarahkan dan meninggalkan segala apa yang
dilarang, maka balasan di akhirat nanti merupakan syurga, tempat yang tiada
tandingan nikmatnya.
Firman Allah
bermaksud: “Perumpamaan syurga yang dijadikan kepada orang-orang yang takut
kepada Allah, di dalamnya mengalir sungai-sungai, buah-buahnya tetap dan (juga)
naungan-Nya. Itulah kesudahannya orang-orang bertakwa kepada Allah, manakala
kesudahan orang-orang kafir (ingkar) pula ialah neraka.” - (Surah ar-Raad, ayat
35).
Golongan yang
dicampakkan ke dalam neraka merayu kepada Allah agar mereka dikembalikan ke
dunia bagi membolehkan mereka mengerjakan amal kebajikan bagi melayakkan
dimasukkan kepada syurga.
Permintaan tersebut
sudah terlambat kerana umur diberikan di dunia telah memadai untuk mereka
melakukan kebajikan. Umur yang panjang di dunia telah digunakan kepada
keburukan dan rasakan balasanya.
No comments:
Post a Comment