Kisah golongan yang
menyesal di akhirat dirakamkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan mereka
menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu) wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami (dari azab siksa ini). Kami
akan mengerjakan amal soleh, yang lain daripada apa pernah kami lakukan. (Lalu
mereka ditempelak): Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan
kamu masa yang cukup untuk berfikir dan beringat kepada-Nya oleh sesiapa yang
suka berfikir dan beringat.” - (Surah Fathir, ayat 37).
Barangsiapa terlanjur
melakukan kejahatan sebelum ini, masih ada peluang untuk bertaubat. Allah Maha
Pengampun menerima taubat sesiapa saja yang bersungguh-sungguh memohon
keampunan daripada-Nya.
Justeru, sentiasalah
bertaubat agar diri sentiasa dibersihkan daripada dosa. Namun, taubat diterima ada batasan waktunya.
Sabda Rasulullah
bermaksud: “Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya selagi nyawa
belum sampai di halkum (yakni belum sakaratulmaut).” - (Hadis riwayat Tarmizi).
Ketika masa masih
belum terlambat, segeralah bertaubat. Sesungguhnya tiada siapa yang tidak
pernah melakukan dosa. Peluang taubat terbuka kepada sesiapa juga biarpun besar
mana dosa yang telah dilakukan.
Allah memberi jaminan
akan menerima taubat setiap hamba-Nya yang benar-benar memohon taubat. Firman
Allah bermaksud: “Katakanlah (kepada manusia): “Wahai hamba-Ku yang telah merasa
berdosa atas diri mereka, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya
Allah dapat memberi ampun-Nya terhadap dosa seluruhnya. Sesungguhnya Dialah
yang Maha Pengampun dan Pengasih.” - (Surah az-Zumar, ayat 53).
Sesiapa enggan
bertaubat, dialah orang menzalimi diri sendiri. Firman Allah bermaksud: “Dan
barang siapa yang tidak mahu bertaubat, mereka itulah orang zalim.” - (Surah
al-Hujurat, ayat 11).
Bagaimanapun, Allah
tidak mengampun dosa syirik, melainkan orang itu kembali mengucap kembali
kalimah tauhid sebagai mengakui “tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan
Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya.”
Bersedialah
menghadapi kematian dengan bekal secukupnya. Bekalan terbaik ialah takwa
sebagaimana dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan berbekallah
kamu, sesungguhnya sebaik-beik bekal ialah takwa (yakni mematuhi perintah Allah
dan menjauhi segala larangan-Nya) dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang
berakal (yang dapat memikir dan memahaminya.” - (Surah al-Baqarah, ayat 197).
Jauhi sikap tamak
kesenenagan dunia sehingga melupai detik kematian yang semakin hampir. Rebutlah
peluang melakukan kebaikan ketika nyawa masih di badan. Cintai kematian kerana
ia menghampirkan diri kepada Allah. Sedangkan mencintai dunia menjadikan diri
semakin jauh daripada Allah.
Sabda Rasulullah
bermaksud: “Hari kiamt telah hampir dan manusia masih lagi bertambah tamak
kepada dunia dan bertambah jauh daripada Allah.” - (Hadis riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan
al-Hakim).
No comments:
Post a Comment