Beberapa kes buang bayi yang berlaku
di negara kita kebelakangan ini memang amat menyedihkan. Bayi yang baru
beberapa detik menghiruk udara segar di dunia ini menjadi korban akibat
tindakan tidak berperikemanusiaan insan yang melahirkannya ke dunia ini.
Setiap
tiga hari akan ada seorang bayi dibuang sama ada dijumpai mati atau hidup. Itulah
fakta sebenar serta realiti yang berlaku dalam masyarakat kita.
Malah,
berdasarkan statistik dikumpulkan mendapati sejumlah 577 kes pembuangan bayi
dan janin direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018.
Rekod
itu diperolehi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hasil kerjasama Polis Diraja
Malaysia (PDRM) berdasarkan laporan diterima serta siasatan dilakukan sebelum
ini.
Rekod
menunjukkan sebanyak 103 kes buang bayi atau janin berlaku pada tahun 2014, 111
kes (2015), 115 kes (2016), 120 kes (2017) dan 128 kes (2018).
Tindakan berupa zaman jahiliyah ini
perlu dihentikan segera supaya tidak menjejaskan keseluruhan identiti
masyarakat yang terkenal lemah lembut dan berperikemanusiaan.
Kes buang bayi berpunca hilang
perasaan kemanusiaan disebabkan ingin menutup aib diri setelah melakukan
perbuatan terkutut.
Bayi
yang dibuang sudah tentu hasil hubungan luar nikah yang ingin disembunyikan
daripada pengetahuan ibu bapa dan orang ramai.
Justeru
itu, untuk mengelak aib diri, anak itu tidak ‘patut’ hidup kerana dengan sendirinya
orang lain akan mengetahui anak itu hasil penzinaan berdasarkan dirinya masih
belum berkahwin secara sah.
Bagi
yang masih ada rasa belas kasihan terhadap zuriat sendiri, dan kebetulan bayi
yang dilahirkan masih hidup, bayi itu diserahkan kepada orang lain.
Perbuatan
membuang bayi satu perbuatan kejam melebihi apa yang dilakukan oleh masyarakat
Arab Jahiliyah dahulu.
Masyarakat
Arab Jahiliyah dahulu hanya membunuh anak perempuan kerana menganggap
mendatangkan bala atau tidak mahu anak itu hidup apabila besar nanti menjadi
hamba nafsu lelaki semata-mata, tetapi ada individu hari ini membunuh bayi
tidak kira lelaki atau perempuan.
Perkara
ini perlu dihalang dengan memberi kesedaran kepada muda mudi agar menjauhkan
diri daripada seks bebas yang mengakibatkan lahirnya anak zina dan kemudiannya
dibuang begitu sahaja seperti bangkai binatang.
Kurangnya didikan agama punca
berlaku gejala ini. Mereka hanya menurut hawa nafsu biarpun tahu perbuatan itu
satu dosa besar.
Disebabkan iman yang kurang dan
tuntutan hawa nafsu yang tidak terkawal, berlakulah seks bebas yang kini
sesetengah individu menganggap ia perkara biasa.
Ibu bapa perlu mengawal anak mereka,
terutama anak gadis supaya tidak bergaul bebas sehingga mendorong berlaku seks
luar nikah. Elok lebih beringat-ingat sebelum perkara mengaibkan keluarga
berlaku.
Seluruh ahli masyarakat juga
bertanggungjawab mencegah perkara ini daripada berlaku berleluasa sehingga
menjadi budaya seperti masyarakat di Barat.
No comments:
Post a Comment