Thursday, 25 July 2019

BUANG BAYI NILAI KEMANUSIAAN KIAN TERHAKIS

Pembuangan bayi bukan lagi dianggap kes terpencil, sebaliknya angka yang dicatatkan menggambarkan masalah berkenaan semakin membimbangkan dan ini menggambarkan wujudnya kepincangan isu keruntuhan moral, nilai dan sosial di kalangan masyarakat yang perlu ditangani dengan lebih berkesan.

Setiap tiga hari akan ada seorang bayi dibuang sama ada dijumpai mati atau hidup.

Walaupun ia sesuatu yang menyayat hati dan dianggap tidak berperikemanusiaan, tetapi itulah fakta sebenar serta realiti yang berlaku dalam masyarakat kita.

Malah, berdasarkan statistik dikumpulkan mendapati sejumlah 577 kes pembuangan bayi dan janin direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018.

Rekod itu diperolehi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan laporan diterima serta siasatan dilakukan sebelum ini.

Rekod menunjukkan sebanyak 103 kes buang bayi atau janin berlaku pada tahun 2014, 111 kes (2015), 115 kes (2016), 120 kes (2017) dan 128 kes (2018).

Apabila ada kes pembuangan bayi, ia turut memperlihatkan nilai kemanusiaan, kasih sayang dan tahap keimanan seseorang itu semakin tipis, seakan tidak tahu hukum dosa dan pahala. Jerih payah sepanjang sembilan bulan mengandungkan bayi itu juga seperti tidak dirasainya.

Berdasarkan laporan, kebanyakan gejala pembuangan bayi ini membabitkan belia dan remaja termasuk di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi serta sekolah menengah.

Keterlanjuran hubungan terlarang antara lelaki dan perempuan yang lahir daripada pergaulan bebas, hiburan melampau, persekitaran institusi kekeluargaan tidak kondusif, tiada kawalan diri, longgar pegangan agama dan pengaruh televisyen serta internet menyumbang kepada permasalahan itu menjadi semakin parah.

Gejala pembuangan bayi tidak lagi dianggap jenayah bermusim kerana setiap saat sebenarnya, di seluruh dunia ada saja kes itu dilaporkan.

Di negara kita, kejadian itu semakin menular terutama remaja dan belia di negara ini yang terdedah kepada banyak sumber yang merangsang mereka untuk membuang bayi dengan mudah tanpa rasa bersalah.

Dunia tanpa sempadan dengan kemudahan berkomunikasi dan melayari internet membuka seluas-luasnya pergaulan mereka, berbeza pada zaman dulu yang remaja tidak mengenal apa itu teknologi.

Malah, ada kalangan remaja yang belajar mengenai seks juga menerusi internet, selain daripada banyak filem lucah dan drama yang mengamit mereka untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu tanpa berfikir kesan jangka pendek dan panjang.

Suasana dan keharmonian institusi keluarga serta pegangan agama yang longgar memburukkan lagi keadaan. Remaja sudah hilang nilai moral dan sahsiah diri sehingga sanggup buat apa saja sama ada berzina sehingga lahir anak luar nikah.

Akibat takut kepada ibu bapa mereka bertindak membuang anak. Tidak mustahil ada kes pelajar yang bersalin di dalam tandas sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa dan guru.

Ada juga kes ibu bapa tahu anak mereka melahirkan anak luar nikah, tetapi dipaksa membuangnya di tempat lain atau dibunuh kerana tidak mahu menanggung malu dengan perbuatan anaknya. Sikap mementingkan diri sendiri ini membuatkan mereka hilang nilai kemanusiaan sehingga sanggup membuang bayi.

Senario masyarakat sekarang juga yang gemar menjaga tepi kain serta menyisih, mengeji, menyisih dan menyindir mereka yang berkelakuan sumbang turut mengundang wanita membuang anak di merata tempat.

Mereka yang membuang anak itu juga seakan sudah tertanam di fikiran, sekiranya buang anak pasti akan ada orang yang akan mengambil atau menjaganya. Fikiran sebegini menjadikan mereka dengan mudah melakukannya tanpa rasa bersalah.

Justeru, masyarakat perlu mengubah minda dengan lebih positif, bukan lagi berfikiran ortodoks bahawa anak luar nikah itu patut disisih dan jika dibuang ada yang akan mengambilnya.

No comments:

Post a Comment