Thursday, 25 July 2019

PENDIDIKAN SEKS UNTUK SUAMI ISTERI

Hubungan seks adalah sebahagian keperluan hidup manusia, namun begitu keperluan itu tidak boleh dipenuhi secara sebarangan. Dalam Islam, perkahwinan ditetapkan sebagai cara memenuhi keperluan itu. 

Institusi perkahwinan bukan sahaja memenuhi tuntutan seks, bahkan asas kepada kebahagiaan hidup. Allah SWT mencipta manusia berpasangan agar saling berkasih sayang dan memerlukan antara satu sama lain. Perkahwinan amat dituntut dalam Islam.  

Namun, dalam pada itu, banyak ikatan perkahwinan berakhir dengan perceraian. Sekarang ini satu fenomena yang membimbingakan apabila kadar perceraian pasangan Islam semakin meningkat. 

Kebimbangan ini mendorong cadangan agar pasangan suami isteri diwajibkan mengikuti kursus pascaperkahwinan, untuk meningkatkan kefahaman mengenai cara-cara mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Sebenarnya, kegagalan sesebuah rumah tangga berlaku disebabkan banyak punca. Tidak ada persefahaman, masalah ekonomi, dan persoalan berkaitan seks adalah antara punca berlaku perceraian. 

Dalam banyak kes perceraian, ramai yang tidak secara terbuka mengatakan berpunca masalah hubungan seks. Pasangan malu untuk memperkatakan punca sebenar atau permulaan yang membawa kepada merebaknya kepada masalah lain.

Dalam budaya Melayu, perkataan seks masih dianggap tabu atau ditegah daripada dipercakapkan. Kebanyakan anggota masyarakat masih berpegang kepada adat begitu keberatan untuk memperkatakan mengenai seks secara terbuka. 

Paling tidak munasabah, suami isteri malu untuk menyatakan apa yang mereka mahu dalam hubungan seks. Hubungan seks dilakukan atas dasar ‘teringin’, maka jadilah apa yang sepatutnya terjadi. Sedangkan, apa yang terjadi itu belum tentu seperti apa yang diharapkan. Banyak pasangan yang kecewa, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.    

Hubungan seks suami isteri bukan sekadar memenuhi tuntutan nafsu. Malah, lebih daripada itu, hubungan seks adalah pengikat kepada kasih sayang. Rasa dihargai dan menghargai. Maka itu, hubungan seks perlu dilakukan dengan ‘sempurna’ dan ikhlas.

Tanpa disedari, sebenarnya banyak pasangan suami isteri masih jahil mengenai hubungan seks. Inilah punca kepada ‘krisis’ hubungan seks suami isteri yang merebak kepada perceraian. Perkara ini jarang di ketengahkan untuk dibincangkan.   

Akibat hubungan seks yang tidak sempurna dan tidak ikhlas, maka hilanglah kasih sayang, saling memerlukan, dan saling menghormati. Apabila ada sahaja masalah, sukarlah dicari penyelesaian. Sedikit sahaja tidak kena, terus naik angin. Lebih parah jika kedua-dua pihak tidak mengaku kelemahan sendiri.

Pasangan yang lebih kerap melakukan hubungan seks dengan sempurna dan ikhlas mudah menyelesaikan masalah rumahtangga yang dihadapi. Malah, hubungan seks yang berterusan dapat membantu kehidupan yang lebih ceria dan baik. Kualiti dan produktiviti hidup banyak bergantung kepada bagaimana sempurna hubungan seks yang dilakukan.      

Ini memerlukan pengetahuan yang mendalam mengenainya. Seseorang itu tidak dianggap telah ‘arif’ mengenai seks setelah kerap berjaya melakukan hubungan seks.  

Pengetahuan mengenai seks meliputi semua aspek seperti teknik, kitaran kesuburan, kesihatan alat seks, masalah seksual, penyakit berkaitan seks, batasan agama, merancang kelahiran, sekatan seks dan sebagainya.

Pengetahuan ini sebenarnya masih kurang di kalangan kebanyakan pasangan suami isteri. Biarpun telah lama berkahwin dan mempunyai anak, ramai yang masih keliru mengenai apa yang dilakukan dan dilalui selama ini.  

Hubungan seks di kalangan kebanyakan suami isteri hanya berasaskan kepada pengalaman. Memang pengalaman amat penting, tetapi perlu juga kepada pengetahuan yang tepat berdasarkan kajian akademik yang khusus oleh pakar berkaitannya.    

Soal seks perlu dilihat mengikut preskripsi lebih luas. Soal seks bukan sekadar keperluan nafsu, tetapi adalah satu kehendak agama. Islam menetapkan betapa murninya sesuatu berkaitan seks. Sebab itu, melakukan hubungan seks suami isteri adalah sebahagian daripada perkara wajib ditunaikan apabila pasangan berkehendakan kepadanya.  

Ajaran Islam adalah panduan hidup yang lengkap. Sesuai kepentingan seks dalam kehidupan manusia, maka Islam menetapkan garis panduan yang terbaik. Tidak ada agama lain yang banyak membincangkan masalah seks berbanding ajaran Islam. Pendidikan seks  diutamakan bukan bermakna ajaran Islam hanya mementingkan kepuasan nafsu. 

Hal yang berkaitan seks dibincangkan cara menyeluruh dan telus dalam banyak buku fikah. Ini bertujuan memberi panduan bagaimana soal seks perlu diuruskan secara murni. Hubungan seks yang tidak menepati peraturan banyak mendatangkan keburukan kepada manusia.

Sudah tiba masanya kongkongan fikiran sempit mengenai seks dibuka dan dijadikan sebahagian daripada pengetahuan ilmiah. Sekarang ini sudah banyak buku, dan ruangan di majalah dan akhbar yang ditulis oleh pakar berkaitan seksual, sakit puan, sakit tuan dan seumpamanya.

Malang sekali, ramai pula yang ‘malu’ untuk membacanya. Jangan kita menilai seseorang hanya berdasarkan topik yang dibaca. Individu yang membaca buku atau ruangan berkaitan seks dianggap gila seks dan bernafsu kuat. Jadi, jika hendak membacanya perlulah sorok-sorok. Inilah silapnya orang kita.  

Malah, ramai memadang sinis dan menuduh akhbar dan majalah yang mengadakan ruangan membincangkan mengenai seks sebagai tidak bermoral. Akhbar dan majalah seperti itu tidak disentuh oleh mereka yang meletakkan diri mereka ‘orang baik-baik’. 

Jika anda benar-benar menghargai dan sayang kepada pasangan anda, ajaklah mereka berkongsi pengetahuan melalui pembacaan buku, dan akhbar dan majalah yang menyediakan penduan khusus mengenai hubungan seks dan yang berkaitan dengannya. 

Kita harus menerima hakikat bahawa banyak pasangan yang sebelum ini bermasalah dalam hubungan seks kini bagaikan pengantin baru setelah membaca panduan dalam majalah. 

Ada kisah benar dalam satu ruangan akhbar menyebut, si isteri menderita dalam hubungan seks sepanjang 15 tahun perkahwinan. Namun, masalah itu dapat diatasi hanya setelah dia mengamalkan apa yang dibaca dalam buku dan majalah berkaitan hubungan seks.  
 
Untuk menghurai halangan ini, kita memerlukan penglibatan sama pakar agama, psikologi, sosialogi, pendidikan, kesihatan, media dan lainnya perlu berganding bahu untuk mengkaji dan memperkenalkan satu bentuk pendidikan seks yang sesuai suami isteri. Jangan anggap perkara itu remeh atau keterlaluan, tetapi fikirkan manfaatnya. 

No comments:

Post a Comment