Pengguguran
janin atau aborsi telah lama dibincangkan di kalangan ulama. Dalam kitab fikah
klasik ia dibincangkan dalam bab ‘jenayah’ kerana kesan perbuatan boleh
melibatkan soal pembunuhan bayi dan sebagainya. Pengguguran (al-ijhadh)
bermaksud menggugurkan janin yang masih belum sempurna penciptaannya sebelum
tiba tempoh lahirnya.
Maksud
pengguguran tentu sekali tidak menyamai tindakan pencegahan hamil melalui
berbagai cara yang ada, dulu dan sekarang. Langkah seperti itu tidak disebut sebagai
“pengguguran”. Tetapi sebaliknya istilah yang digunakan ialah Azl yang merupakan cara yang popular
pada zaman dahulu bagi tujuan berkenaan. Azl, iaitu mengeluarkan mani di luar
faraj semasa persetubuhan.
Imam
al-Ghazali (Wafat 505H) menjelaskan: “Menggugurkan janin dan menanam bayi
hidup-hidup (al-wad) merupakan satu jenayah ke atas makhluk yang wujud.
Terdapat beberapa tahap kewujudan, pertamanya ketika benih lelaki memasuki
rahim wanita, lalu bercampur antara benih lelaki dan perempuan serta ia
bersedia untuk menerima kehidupan, yang dinamakan nutfah (zigot).
Menggugurkan
nutfah merupakan satu jenayah. Jika nutfah itu berubah menjadi alaqah
(epigenesis) dan mudghah (somit), maka jenayah menggugurkannya menjadi semakin berat.
Seterusnya jika telah sempurna bentuk tubuh badannya dan telah ditiupkan roh,
maka jenayah menggugurkannya menjadi lebih berat.
Jenayah
paling berat apabila bayi yang telah lahir hidup dibunuh." (al-Ghazali,
Abu Hamid Muhammad, Ihya ulum al-din, Kaherah: al-Matbaah al-Uthmaniyah, 1352H,
jil. 2, hlm. 47)
Rasulullah
menyebut mengenai tahap kejadian manusia. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya
setiap orang daripada kalian dicipta di dalam perut rahim ibunya selama 40 hari
dalam bentuk titisan air mani (nutfah), kemudian dia menjadi segumpal darah
(alaqah) selama 40 hari juga, lalu menjadi seketul daging (mudghah), juga
selama tempoh yang sama. Kemudian Allah menghantar malaikat supaya meniupkan
roh kepadanya. Malaikat itu diberikan empat perintah, iaitu supaya menuliskan
rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya dan sama ada dia akan sengsara ataupun
bahagia" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Wahbah
al-Zuhaili berkata, “Pendapat yang lebih tepat (rajih) menurut saya ialah
dilarang menggugurkan kandungan seawal usia kandungan kerana ia sudah dianggap
bermulanya sebuah kehidupan dan bermulanya perkembangan janin. Melainkan jika
terdapat darurat seperti penyakit yang merbahaya, kanser atau adanya keuzuran
seperti terputus susu ibu kesan daripada mengandung, sedangkan ibu itu sedang
menyusukan bayinya serta dalam masa yang sama, bapa bayi itu tidak mampu
membayar upah ibu susu dan dikhuatiri situasi tersebut menjejaskan keselamatan
bayi.
Imam
Qadi Khan memberikan contoh keuzuran yang membolehkan seseorang wanita
menggugurkan kandungannya, “Seorang wanita yang sedang menyusukan anaknya,
kemudian dia mengandung, lalu terhenti susunya serta dalam masa yang sama, bapa
kanak-kanak itu tidak mampu membayar upah ibu susu dan dikhuatiri situasi
tersebut menjejaskan keselamatan kanak-kanak itu.
Para
ulama berpendapat, “Wanita itu dibenarkan untuk menggugurkan kandungannya
selagi ia masih berupa nutfah, alaqah, atau mudghah yang masih belum memiliki
anggota badan. Mereka menjelaskan tempoh kandungan itu masih belum melebihi 120
hari.
Mereka
membenarkan untuk digugurkan segumpal darah tersebut, kerana ia masih belum
dianggap seorang manusia. Ia dibenarkan untuk menjaga nyawa seorang manusia
(iaitu kanak-kanak yang sedang menyusu tersebut)." (Qadi Khan, al-Fatawa
al-Khaniyah, dlm. al-Fatawa al-Hindiyah, Misr: al-Matbaah al-Amiriyah,
1310H, jil. 3, hlm. 410)
Hujah
pendapat ini ialah kandungan yang masih belum ditiupkan roh masih belum
dianggap sebagai seorang manusia. Oleh itu, menggugurkan kandungan yang masih
berada pada peringkat nutfah, alaqah dan mudghah yang belum berusia 120 hari
iaitu sebelum janin itu bernyawa, tidak dianggap sebagai membunuh seorang
manusia, namun jika dilakukan tanpa sebarang keuzuran yang diiktiraf oleh
syarak, wanita yang menggugurkan kandungannya itu berdosa.
Disyaratkan
perlu wujud keuzuran kerana walaupun janin itu masih belum bernyawa, tetapi ia
sudah berada di dalam rahim ibunya dan sudah bermula proses kehidupan.
(al-Zuhaili, Wahbah, al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, cet. ke-3, Dimashq: Dar
al-Fikr, 1989, jil. 3, hlm. 557)
Namun,
menurut majoriti para pakar perundangan Islam, jika dalam keadaan darurat, maka
pengguguran janin yang sudah bernyawa adalah dibenarkan. Contoh keadaan darurat
ialah bagi menyelamatkan nyawa ibu. Imam al-Syarbini al-Khatib, menjelaskan, “Jika
seorang wanita mengandung terpaksa makan ubat sehingga menyebabkan kandungannya
gugur, maka al-Zarkasyi berkata, “Wanita itu tidak bersalah." (al-Khatib,
Muhammad al-Syarbini, Mughni al-muhtaj, Lubnan: Dar Ihya al-Turath al-Arabi,
t.th., jil. 4, hlm. 103.)
Mahmud
Syaltut, mantan Syeikh al-Azhar menjelaskan, “Jika disahkan melalui kaedah yang
berautoriti, keberadaan janin yang sudah bernyawa di dalam rahim boleh
membahayakan nyawa ibu, maka syariat Islam menurut kaedah umumnya menyuruh kita
mengambil kemudaratan yang lebih ringan bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih
besar, maka dibenarkan janin itu digugurkan." (Zaidan, Abd al-Karim,
al-Mufassal fi ahkam al-marah wa al-bayt al-Muslim fi al-Syariah al-Islamiyah,
cet. ke-2, Beirut, hlm. 126-127).
Fatwa berkaitan pengguguran janin yang ada di
Malaysia. Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Tentang
pengguguran kerana terdapat ancaman terhadap nyawa ibu, muzakarah tersebut
memutuskan seperti berikut: (Muzakarah kali ke-90)
Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga empat puluh hari
sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua
suami isteri. Pengguguran janin yang
berumur sebelum 120 hari adalah harus
sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit dan boleh membahayakan nyawa ibu.
Pengguguran
janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin
yang telah ditiup roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa atas
sebab kecacatan yang teruk.
Selain
itu muzakarah tersebut juga juga memutuskan hal-hal berikut: (Muzakarah kali
ke-90):-
Rogol: Haram
menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana
pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh keatas janin yang telah ditiupkan
roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.
Pengguguran
janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan
berpenyakit teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Zina: Menggugurkan
kandungan zina adalah haram dalam semua keadaan kecuali mengekalkan kandungan
akan memudaratkan nyawa ibu.
Orang
Kurang Upaya (OKU): OKU (ujian akal di bawah paras 80) harus menggugurkan
kandungan yang berusia kurang daripada 120 hari. Haram menggugurkan kandungan
yang berusia lebih daripada 120 kecuali jika memudaratkan nyawa ibu.
Apa
yang jelas daripada fatwa-fatwa yang diberikan, keharusan pengguguran kandungan
dalam usia lebih daripada 120 bergantung sepenuhnya kepada soal ancaman terhadap
keselamatan nyawa ibu.
Semuanya
ini berasaskan kepada teori maslahah dan mafsadah di atas. Adapun pengguguran
pada peringkat sebelum itu maka ianya boleh dilakukan atas sebab-sebab lain
juga, kerana kewujudan kandungan berkenaan belum mencapai tahap yang diberikan
perlindungan sepenuhnya oleh Syarak.
No comments:
Post a Comment