Monday 19 August 2019

SEJARAH KUDAT SABAH

Kudat adalah sebuah bandar di Sabah. Ia berfungsi sebagai pusat pentadbiran untuk Bahagian Kudat yang termasuk bandar-bandar Kudat, Pitas, Kota Marudu dan beberapa pulau luar pesisir seperti Pulau Bangi dan Pulau Balambangan.

Kudat terletak di utara Sabah, iaitu kira-kira 190 kilometer di utara Kota Kinabalu. Di barat Kudat, menghadap Laut China Selatan, dan di timur Kudat menghadap Laut Sulu. Kudat terletak pada garis lintang 6°55' utara, garis bujur 116°50' timur.

Komposisi etnik yang utama ialah Rungus, merupakan sub-etnik bumiputra Kadazan. Kira-kira 10 peratus penduduk adalah etnik Cina dan terdapat juga minoriti etnik Bajau, Dusun, Murut, Bugis, Suluk dan Melayu.

Bagaimanapun, terdapat juga pendatang asing daripada Mindanao dan Kepulauan Sulu. Walau bagaimanapun 51 peratus penduduk Daerah Kudat adalah bumiputera beragama Islam (Bajau Bannaran, Ubian, Sungai, Brunei, Bajau dan Kagayan), diikuti bumiputera etnik Rungus 30 peratus dan etnik Cina 19 peratus.

Bandar Kudat diasaskan oleh A H Everett daripada British North Borneo Company (Syarikat British Borneo Utara) pada 7 Disember 1881 dan menjadi ibu negeri pertama British Borneo Utara. Pemilihan Kudat sebagai pusat pentadbiran Bristish Borneo Utara disebabkan lokasi geografi yang strategik.

Kudat mendapat nama awalnya daripada perkataan Bajau-Bannaran dan Вajau Úbian iaitu kata "takudat" yang bermakna 'terkejut'.

Sebelum kedatangan British Ke Kudat, dan sebelum Kudat mendapat namanya kawasan bandar Kudat ditadbir oleh Maharaja Panglima Untung.

Panglima Untung  atau nama sebenarnya Hj Abdul Rahim beliau merupakan seorang yang berketurunan Suluk-Bannaran/Sungai. Beliau merupakan bapa kepada ibu Tun Datu Mustapha Bin Datu Harun.

Hj Abdul Rahim bersepupu dan merupakan salah seorang guru ilmu kebatinan kepada Datu Paduka Mat Salleh atau dikenali juga sebagai Haji Abdul Salam yang telah diberikan kekuasaan oleh Sultan Sulu untuk mentadbir wilayah utara Kudat (termasuk Talaga dan Pitas ) berpusat di Limau-limauan (Kudat).

Sewaktu A H Everett datang ke Kudat, beliau telah menaiki kapal Besar dan membunyikan hon dan meriam sebagai menandakan kedatangannya ke pantai Kudat.

Tindakan ini mengejutkan Hj Abdul Rahim dan mengatakan beliau "Takudat" atau terkejut dengan peristiwa ini. Beliau dan pengikutnya telah menemui A H Everett dan mengalu-alukan kedatangannya ke Kudat.

A H Everett telah menerangkan kedatangan beliau ke Kudat dan menerangkan bahawa Sabah telah dipajakkan oleh Sultan Sulu ke pada Kompeni British.

Justeru, pihak kompeni ingin membuka pelabuhan dan menjadikan pusat pentadbiran di situ atas cadangan dan nasihat Sultan Sulu.

 A H Everett bertanyakan kepada Hj Abdul Rahim apakah nama tempat itu. Hj Abdul Rahim menerangkan bahawa tempat itu belum bernama tetapi mengatakan beliau 'tekudat' atau terkejut dengan kedatangan pihak kompeni.

 A H Everett mengulangi kata-kata 'kudat' dalam loghat British dan menyebut Yes Kudat... Sejak itu tempat itu dipersetujui untuk dinamakan sebagai Kudat.

Walau bagaimanapun, setelah berkali-kali diserang oleh lanun, selepas beberapa tahun British beralih ke pelabuhan Sandakan yang lebih selamat di timur Sabah.

Kudat kini sepertimana bandar lain di Sabah semakin berkembang maju. Satu yang sinonim dengan Kudat ialah Tanjung Simpang Mengayau, titik paling utara di pulau Borneo.

GAMBAR: KUDAT TAHUN 1890

No comments:

Post a Comment