Friday 16 August 2019

TERUSKAN PERTAHANKAN BANGSA AGAMA RAJA


Tanggungjawab orang Melayu mempertahankan bangsa, agama dan raja. Itu satu amanah yang besar perlu dilaksanakan dengan keinginan yang bersungguh-sungguh.

Dalam konteks Melayu, mempertahankan Melayu adalah mempertahankan Islam.

Di Malaysia apabila disebut Melayu maka dia adalah Islam. Maka, bila disebut Islam pula maka dikatakan Melayu. Kita kena faham betul tentang perkara ini. Memang betul Melayu itu Islam, kerana seseorang Melayu yang bukan Islam akan hilang kelayakannya untuk menjadi Melayu. Jadi, Melayu itu mesti Islam. 

Ketetapan ini terkandung dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu' sebagai seseorang yang ber­agama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.

Mempertahankan raja juga bermakna menjaga Islam. Raja diamanahkan untuk menjaga Islam. Kalau kita menjaga orang yang diamanahkan menjaga Islam, bermakna kita menjaga Islam.

Kedudukan dan peranan raja dalam menjaga agama Islam termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

PERKARA 3. UGAMA BAGI PERSEKUTUAN.
(1) Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

(2) Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga, tertakluk kepada perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua ugama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

(3) Perlembagaan-perlembagaan bagi Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kepada Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua ugama Islam dalam Negeri itu.

(4) Tiada apa-apa dalam Perkara ini mengurangkan kuasa mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.

(5) Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua ugama Islam dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan; dan bagi maksud ini Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal ugama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan ugama Islam.

Ayuh Melayu ... jangan gentar membicarakan untuk mempertahankan bangsa, agama dan raja. Mengapa kita harus berasa bersalah memperkatakan dan melakukan perkara yang jadi tanggungjawab.

No comments:

Post a Comment