Friday 11 October 2019

BERDEBAT SECARA BERHEMAH

Berdebat adalah antara cara untuk menyampaikan mesej dan membuktikan kebenaran. Justeru, berdebat diangggap satu cara atau kaedah untuk menyampaikan dakwah mengenai Islam.

Namin, perdebatan yang dimaksudkan sebagai mencari kebenaran dan dianggap satu kaedah dakwah apabila ia melibatkan individu atau kumpulan yang mepunyai kemahiran dalam isu-isu yang diperdebatkan.

Dalam kitab al-Iqtisad fi al-I’tiqad, Imam al-Ghazali menjelaskan kaedah perdebatan sesuai digunakan untuk menghadapi mereka yang sedang mencari-cari jawapan dalam kalangan orang bijak dan terpelajar.

Pendebatan melibatkan masyarakat awam yang bertaklid secara taksub dengan ajaran agama masing-masing tidak sesuai diadakan. Mereka bukan mempertahankan kebenaran, sebaliknya sekadar menegakkan benang basah.

Ilmu yang dimiliki amat cetek dan mereka tidak mempunyai sebarang hasrat menyelidik atau mengkaji asas-asasnya. Apa yang didebatkan sekadar mengikut ikut sedap mulut.

Perdebatan sedemikian bukan mencari kebenaran, tetapi hanya akan menebalkan lagi ketaksuban mereka terhadap apa dipegang selama ini secara taklid buta.

Apa yang diperkatakan adalah diulang perkara sama biarpun hujahnya amat dangkal. Dia tidak mahu menerima penjelasan orang lain dan hanya menganggap dia sahaja yang betul.

Lebih parah lagi apabila dia menyelahkan pihal lain dalam melakukan sesuatu perkara, tetapi perkara yang sama dilakukan olehnya pula dianggap tidak salah. Dia mengingatkan orang lain agar tidak melakukan perkara itu, sebaliknya dialah berlebih-lebih melakukannya.

Disebabkan perdebatan mempunyai kebaikan dan keburukan, ia hanya boleh diadakan dengan syarat ketat bagi menjaminnya mendatangkan kebaikan kepada semua pihak.

Dalam Islam, perdebatan hanya diadakan bagi mengetahui kebenaran, bukan untuk mengalahkan lawan. Oleh itu, ia menjadi syarat paling utama.

Perdebatan ialah perbuatan tercela dan berdosa, jika niatnya untuk mengalahkan lawan semata-mata, bukan mengetahui kebenaran melalui hujahnya.

Perdebatan berpunca daripada niat sebegitu, tidak akan membuahkan hasil baik kerana jika nyata sekalipun kebenaran sesuatu pandangan, pihak satu lagi akan tetap berdegil mahu menegakkan benang yang basah.

Menurut Islam, perdebatan semata-mata alat menzahirkan pendapat benar melalui hujahnya dan hanya diadakan antara dua pihak yang sememangnya berhasrat mengkaji dan meneliti.

Pada zaman akses maklumat tidak terbatas, cabaran dihadapi umat Islam amat getir memandangkan banyak kekeliruan dan kepalsuan disebarkan terhadap Islam dan Muslimin oleh pelbagai pihak.

Namun, peluang menyampaikan risalah Islam juga terbuka luas di hadapan mata. Segala tohmahan dan fitnah terhadap Islam perlu dijawab sewajarnya melalui pelbagai saluran. Dengan berkembangnya teknologi maklumat, kita tidak lagi dapat mengawal siapa yang akan mengakses apa disiarkan.

Namun, satu perkara kita tidak harus lupa adalah Islam itu agama ilmu dan tidak kira apapun saluran digunakan untuk menyampaikannya, ia tidak boleh dipisahkan daripada dasar ilmu.

Justeru, berhujah dan berdebatlah dengan ilmu, bukannya dengan perasaan marah, ego dan taklid buta.

No comments:

Post a Comment