Monday 14 October 2019

KUIH PULUT DAKAP

Satu jenis kuih agak popular di Kelantan ialah kuih pulut dakap. Dinamakan kuih pulut dakap kerana dua bungkus pulut yang diikat berdakap atau berpeluk.

Kalau tidak diikat berdakap tidak boleh ke? Boleh memanglah boleh, tetapi tidak boleh dinamakan kuih pulut dakap. Agaknya boleh dinamakan 'kuih pulut solo'.

Hendak buat buat kuih pulut dakap ini bahan utama paling penting ialah beras pulut. Satu lagi yang mesti ada ialah pisang raja! Pisang raja digunakan sebagai 'inti' yang diletak di dalam pulut yang dibalut dengan daun pisang.

Pemilihan pisang raja disebabkan jenis pisang raja tidak menjadi lembik apabila dimasak. Keadaan pisang raja tetap keras dan kejung biarpun dimasak selama lebih 30 minit. 

Pisang yang diletakkan di tengah itu dibelah dua. Jadi satu pasang kuih pulut dakap menggunakan sebiji pisang.

Disebabkan ada pisang diletakkan di tengah-tengah, maka di sesetengah tempat ia dipanggil kuih pulut pisang.

No comments:

Post a Comment