Thursday 18 June 2020

MELAYU MYANMAR DIHORMATI

Bangsa Melayu tersebar luas di seluruh dunia. Melayu menjadi kaum minoriti di banyak negara. Antara negara tersebut ialah di Myanmar.

Bangsa Melayu Myanmar diterima sebagai warganegara Myanmar dan hidup aman serta diperakui hak mereka sebagai rakyat. Biarpun sebagai kaum minoriti, bangsa Melayu Myanmar berdikari, berusaha menjalani kehidupan dengan aman tanpa gangguan atau tekanan daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan Myanmar.

Justeru, kerajaan Myanmar sangat menghormati kaum Melayu kerana sikap mereka yang setia dan taat kepada negaranya. Walaupun hidup dalam keadaan serba kedaifan, mereka tetap tinggal di sana kerana mereka menganggap Myanmar adalah negara kelahiran mereka.

Orang-orang Melayu di Myanmar masih mengekalkan jati diri mereka sebagai bangsa bermaruah. Mereka duduk di Kampung-kampung di Selatan Myanmar, bertutur menggunakan Bahasa Melayu, belajar kitab-kitab jawi Melayu, belajar silat melayu dan mengekalkan budaya dan cara hidup Melayu.

Kawasan didiami Melayu Myanmar ialah di Kepulauan Mergui. Kepulauan Mergui (juga Kepulauan Myeik atau Myeik Kyunzu) adalah gugusan kepulauan paling selatan di Myanmar. Ia terdiri daripada lebih 800 buah pulau bersaiz kecil sehingga ada beratus-ratus kilometer persegi.

Kebanyakan orang Melayu yang menetap di selatan Myanmar dan selatan Thailand adalah berketurunan Melayu Kedah. Suatu masa dulu, kerajaan negeri Kedah Tua pernah menjadi kuasa hebat dalam sejarah Asia Tenggara. Empayarnya memanjang dari bahagian selatan Myanmar Taninthayi hingga negeri-negeri utara di Malaysia.

Orang Melayu di Burma atau Myanmar bertutur dalam dialek Kedah-Perlis. Etnik Melayu memiliki budaya Muslim sejak abad ke-15. Bahasa Melayu merupakan bahasa lingua franca nusantara, atau bahasa perantaraan. Selain bertutur dalam bahasa Melayu, beberapa golongan tua boleh membaca tulisan Jawi, tulisan bahasa Melayu yang ditulis dalam abjad Arab.

Jika anda lihat peta selatan Myanmar anda akan dapati beberapa nama tempat adalah dalam Bahasa Melayu seperti Kampong Ulu, Kampong Mah Puteh, Kampong Tengah, Pase Panjang, Telok Babai serta Kampong Pulo Chili.

Sebahagian besar Melayu Myanmar di Tanintharyi tinggal di kawasan Kawthaung, salah satu daerah paling multikultural di Myanmar. Penduduknya terdiri Melayu Muslim, orang Buddha Thailand, dan suku pengembara Melayu yang dikenal masyarakat tempatan dengan nama Pashu. Di sana tinggal juga orang Cina dan India yang pada masa kolonialisme Inggeris diguna sebagai buruh melombong timah.

Nama Tanintharyi sendiri berasal dari penyebutan Melayu “Tanah Sari”. Lidah Burma sukar menyebut nama itu dan menyebutnya dengan lidah mereka menjadi "Tanintharyi." Orang-orang Eropah menyebutnya “Tenasserim."

Pada abad ke-19 sampai awal abad ke-20, Kawthaung lebih dikenal dengan nama Victoria Point dan menjadi pelabuhan kecil di Myanmar selatan. Di situ tak hanya berlabuh perahu-perahu dagang, tapi juga tempat singgah para pencari ikan dari daerah-daerah yang jauh.

Kedatangan orang-orang Melayu di Kawthaung bermula dari para pencari ikan. Pada 1865, sekelompok nelayan yang dipimpin Nayuda Ahmed, seorang Melayu keturunan Arab, berlayar mencari ikan di sekitar Kepulauan Mergui. Mereka mendirikan perkampungan kecil di sebuah teluk di Victoria Point.

Awalnya tempat itu sekadar untuk singgah. Namun, lantaran hasil ikan di situ sangat banyak, mereka memutuskan menetap. Sejak itulah para nelayan Melayu beranak-pinak di tempat itu. Orang Melayu yang sekarang berada di situ adalah keturunan para pengikut Nayuda Ahmed. Kawasannya sekarang dikenal sebagai Desa Bokpyin.

Etnik Melayu yang tinggal di Myanmar juga mempunyai kaitan erat dengan orang Patani di Thailand selatan. Mereka sama-sama keturunan orang-orang dari Kerajaan Patani lama. Setelah Patani runtuh, mereka tersebar di beberapa bahagian Burma dan Kerajaan Ayutthaya. Bahasa utama di daerah tersebut adalah bahasa Myanmar dan orang Melayu juga masih menggunakannya sebagai lingua franca untuk berinteraksi dengan masyarakat dari suku lain.

Orang Melayu Burma adalah pengikut aliran Sunnah Islam yang terdiri dari Mazhab Shafie, sedikit berbeza daripda Mazhab Hanafi bagi Muslim lain di Burma.