Monday 21 December 2020

KEBERANIAN SEBAGAI NILAI HARGA DIRI

 
Keberanian adalah harga diri. Tanpa keberanian, hidup kita tiada berharga. Maka, kita perlu sentiasa memupuk dan menjaga keberanian diri. 
 
Pramoedya Anan Toer pernah berkata, dalam hidup kita hanya satu yang kita punya iaitu keberanian. Jika tidak punya itu, lantas apa harga hidup kita ini. 
 
Pemimpin terkenal Britain, Sir Winston Churchill pula pernah berkata bahawa keberanian adalah kemampuan untuk berdiri dan menyuarakan pendapat bahkan keberanian juga dituntut untuk duduk diam dan mendengar. 
 
Keberanian adalah satu nilai yang sangat berkait rapat dengan etika dan integriti mana-mana insan atau organisasi. 
 
Pun perlu ditegaskan, keberanian yang difokuskan ialah keberanian moral bukan keberanian fizikal. 
 
Penulis, Ambrose Redmoon melihat keberanian bukannya sebagai kehilangan rasa takut, tetapi lebih kepada pertimbangan ke atas sesuatu yang lebih penting daripada rasa takut. 
 
Ketika Mark Twain melihat keberanian sebagai halangan kepada rasa takut, Samuel Johnson pula menganggapnya sebagai prinsip kehidupan teragung melainkan sekiranya kita tidak mempunyai nilai ini, maka kita tidak akan berupaya memelihara prinsip kehidupan yang lain. 
 
Sekiranya kelakuan buruk tidak ditangani, ia akan terus menjadi-jadi dan akan bertambah buruk. Kita akan sukar untuk berhadapan dengan perkara sebegini sekiranya kita membenarkan diri melupakan atau tidak menghiraukannya. 
 
Oleh itu, keberanian bukan saja harus dipraktikkan di medan perang, tetapi juga dalam kehidupan dan kerjaya lazimnya. Seseorang itu mesti ada naluri menegakkan keadilan moral apabila berurusan dan berhadapan dengan kelakuan tidak beretika. 
 
Stephen Covey pernah mengatakan, kesabaran itu ibu kepada kebijaksanaan, manakala keberanian adalah bapa kepada kebijaksanaan kerana nilai ini wujud dalam harmoni bersama nilai teras lain seperti amanah dan kejujuran. 
 
Kini, kita memasuki era globalisasi dan dunia hari ini sangat berbeza. 
 
Kita menghadapi pelbagai cabaran dan kerumitan baharu, bukan saja dalam kehidupan peribadi bahkan juga dalam hubungan bersama keluarga, rakan dan komuniti terutama di tempat kerja. 
 
Kita perlukan keberanian untuk membawa perubahan, membuat keputusan penting yang perlu walaupun tidak popular, bersuara, berdiri berseorangan apabila berlaku salah faham untuk mengatakan 'tidak' dan juga memohon maaf. 
 
Keberanian moral adalah sesuatu yang jarang dilihat dan berasal daripada pendirian kukuh pada diri seseorang. Menegakkan prinsip kendiri memerlukan keberanian moral dan etika terutama apabila berhadapan dengan kesusahan, bahaya, ataupun ketidakpastian. 
 
Sebagai pemimpin di dalam organisasi tersendiri, kita wajib memainkan peranan yang berkesan dalam memberi tunjuk ajar kepada pekerja bagaimana keberanian itu boleh dipraktikkan. 
 
Keberanian hanya diterima sebagai nilai positif apabila ia digunakan untuk tujuan baik dan mulia seperti mempertahankan maruah dan integriti negara, ataupun untuk tujuan perkembangan dan pembangunan. 
 
Keberanian boleh menjadi sesuatu yang buruk sekiranya digunakan untuk tujuan peribadi yang jahat seperti menipu, rasuah atau mengamalkan aktiviti tidak bermoral seperti gangguan seksual, mencuri, membunuh, rogol dan sebagainya. 
 
Kesimpulannya, keberanian adalah teras kepada nilai murni dan rasional dan ia harus dipraktikkan hanya dengan keperibadian positif dan kesedaran diri yang betul. Oleh itu, sebagai pemimpin organisasi, kita harus menggunakan keberanian sebagai nilai untuk memperteguh dan mengangkat integriti perkhidmatan awam dan negara.

No comments:

Post a Comment