Monday 8 August 2022

TANAM UBI KELEDEK BERI KEUNTUNGAN LUMAYAN

  
Penanaman ubi keledek dengan teknik yang betul mampu memberi pulangan tiga hingga empat kali ganda berbanding kos mengusahakan tanaman semusim. Keledek sesuai ditanam di kawasan tanah berpasir atau tanah beris. 
 
Kawasan tanah gembur juga sesuai untuk tanaman ubi keledek. Tanaman ubi keledek tidak boleh ada takungan air kerana 'ibu' akan lembik dan mudah rosak. 
 
Keledek ditanam menggunakan bahagian batang pucuk. Ubi keledek juga boleh ditanam dengan cara keratan ubi. 
 
Penanaman keledek tidak memerlukan banyak penjagaan. Apa yang penting bekalan air yang cukup, terutama ketika awal penanaman dan ketika tumbesaran. 
 
Keledek memerlukan pembajaan yang cukup bagi memastikan tumbesaran berlaku dengan baik dan seterusnya pengeluaran hasil yang banyak. 
 
Kerja pembajaan perlu dilakukan setiap 15 hari sekali bagi memastikan hasil iaitu saiz ubi keledek memuaskan. Dalam semusim biasanya baja diberikan sebanyak lapan kali dan bulan pertama biasanya baja daun, bagi bulan berikutnya ialah baja buah. 
 
Tempoh matang keledek mengeluarkan hasil adalah antara tiga bulan setengah sehingga empat bulan setengah mengikut jenis yang ditanam dan penjagaan. 
 
Ubi keledek dianggap telah matang berdasarkan kepada tekstur pada kulit atau permukaan ubi sama ada masih berkedut atau licin. Kalau berkedut lagi ketika masuk tiga bulan setengah, ia belum cukup matang dan perlukan seminggu dua lagi sebelum dituai. 
 
Racun pula penting kerana ancaman perosak seperti ulat pengorek dan tikus boleh mempengaruhi kualiti jualan gred ubi. 
 
Pemintaan terhadap ubi keledek sentiasa tinggi kerana ia digunakan untuk pelbagai jenis menu masakan, selain dimakan rebus dan digoreng. Keledek juga dijadikan makanan kepada haiwan seperti landak, arnab, kambing dan sebagainya. 
 
Penanaman keledek di tapak sama perlu dihentikan dan digantikan dengan jenis tanaman lain setelah ia digunakan dua tahun. Ini bertujuan untuk mengelak ancaman penyakit dan mengembalikan keadaan tanah yang sesuai untuk keledek.

No comments:

Post a Comment