Monday 1 August 2022

CARA UCAP SELAMAT HARI LAHIR DI WHATSAPP

  
Menjadi amalan kita mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran kepada rakan. Kalau dahulu ia dilakukan secara berdepan atau melalui surat dan telefon. Namun, sekarang ini cara paling menjadi pilihan adalah melalui media maya seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. 
 
Antara saluran paling digemari ialah ucap selamat ulang tahun kelahiran di kumpulan WhatsApp. Apabila ada yang mula ucapkan kepada seseorang, maka yang lain akan melakukan perkara yang sama. Malah ada yang sekadar salin dan tampal. 
 
Berpuluh-puluh dan sehingga melebihi seratus ucapan akan dititipkan. Bahkan beberapa hari kemudian masih ada yang terus ucapkan kerana mungkin tidak perasan atau tidak sempat kerana terlalu banyak mempunyai kumpulan WhatsApp yang disertai. 
 
Kumpulan WhatsApp biasanya menjadi ‘aktif’ apabila ada ahli sambut ulang tahun kelahiran. Satu lagi apabila ada kes kematian yang masing-masing akan mengirimkan ucapan takziah dan doa. 
 
Sebab itu, ada orang menggelarkan ‘kumpulan WhatsApp hari lahir’ dan ‘kumpulan WhatsApp takziah’. 
 
Apa pendapat mengatakan tidak wajar kita mengucapkan hari lahir dan takziah di kumpulan WhatsApp, melainkan orang yang pertama sebagai satu pengumuman untuk makluman ahli kumpulan. 
 
Ucap hari lahir dan takziah adalah perkara peribadi. Elok jika kita ucapkan terus ke mesej peribadi. Ia lebih memberi satu hubungan yang bermakna. Boleh tulis mesej yang istimewa atau berbentuk peribadi. Ia dianggap lebih ikhlas dan menyentuh perasaan. 
 
Kalau tulis di kumpulan WhatsApp, amat terbuka. Bahkan lebih teruk jika sekadar salin dan tampal. Paling tidak bertanggungjawab apabila sekadar diteruskan mesej yang diterima sebelum itu. 
 
Lebih kelakar lagi apabila ada yang mengucapkan selamat hari lahir kepada seseorang, sedangkan orang berkenaan tidak ada dalam kumpulan WhatsApp. Pakai hentam sahaja, asalkan tidak ketinggalan untuk melakukan apa yang dilakukan oleh ahli-ahli yang lain.

No comments:

Post a Comment