Tuesday 20 December 2022

CARA MEMBERI BANTUAN MANGSA LEMAS

  
Sewaktu musim banjir ini, perkara yang paling dikhuatiri adalah kehilangan nyawa akibat lemas. Bantuan kecemasan yang betul kepada mangsa lemas boleh mengelakkan perkara itu.
 
Apakah perlu dilakukan jika terlihat ada mangsa sedang kelemasan di dalam air?
 
Nilai Tahap Bahaya
Perkara pertama yang anda harus lakukan sebelum membantu adalah menilai tahap bahaya. Nilai sama ada keadaan adalah selamat untuk anda masuk ke dalam air, dan anda mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk membantu.
 
Jika keadaan air tidak selamat, atau anda tidak mahir berenang dan menyelamat, maka segera dapatkan bantuan segera. Boleh hubungi talian 999 untuk dapatkan panduan dan bantuan kecemasan dari anggota terlatih.
 
Sementara menunggu, cuba untuk mencapai mangsa dari tempat yang selamat, seperti bot atau pantai. Jika anda tidak dapat mencapainya, lemparkan mereka alat pelampung atau tali untuk membantu mereka tetap terapung.
 
Periksa Pernafasan
Setelah mangsa dikeluarkan dari air dan dapati tidak sedarkan diri, dongakkan kepala mangsa, periksa mulut dan salur pernafasan. Gunakan jari untuk mengeluarkan sebarang objek pepejal yang menyekat saluran pernafasan.
 
Palingkan mangsa ke posisi mengiring untuk mengeluarkan cecair yang berkemungkinan berada di dalam mulut, dan salur pernafasan. Lihat selama 10 saat. Jika mangsa tidak bernafas, mulakan prosedur CPR dengan segera.
 
Jika anda tidak terlatih dalam melakukan prosedur CPR, cuba cari sesiapa yang terlatih atau hubungi talian 999 untuk dapatkan panduan bantuan kecemasan dan CPR dari anggota terlatih melalui telefon.
 
Prosedur CPR Mangsa Lemas
Prosedur CPR adalah lebih berkesan dan selamat jika ia dilaksanakan oleh individu terlatih. Prosedur ini boleh menyebabkan kecederaan pada pelaksana dan mangsa jika dilakukan menggunakan teknik yang salah.
 
Berikut adalah ringkasan prosedur CPR:
- Berikan tekanan dada selaju 100 tekanan/minit.
- Kedalaman tekanan dada hendaklah lebih 5cm.
- Setiap 30 tekanan dada, buat 2 pernafasan mulut-ke-mulut/BVM (nisbah 30:2)
- Setiap pernafasan, hendaklah sekitar 1 saat
- Setelah CPR 2 minit periksa nafas dan nadi
- Sambung CPR jika masih tiada nafas atau nadi
- CPR sehingga bantuan tiba atau pesakit bernafas
 
Andai kata anda tidak berhasrat untuk melakukan pernafasan mulut-ke-mulut, langkau(skip) sahaja langkah itu. Hanya teruskan tekanan dada. Jika anda kepenatan, minta bantuan orang lain untuk sambung prosedur CPR.
 
Pantau Mangsa Setelah CPR
Setelah mangsa boleh bernafas sendiri, letak mangsa dalam posisi mengiring ke kiri. Pantau pernafasan mangsa sehingga mangsa sedar. Jika mangsa berhenti bernafas semula, maka mulakan semula prosedur CPR.
 
Mangsa yang telah berjaya diselamatkan perlu diselimutkan tubuhnya untuk mengelakkan mangsa mengalami hipotermia(suhu badan terlalu rendah). Mangsa juga perlu ditenangkan, diberi ruang dan tidak terlalu diganggu.
 
Tunggu hingga ambulans atau petugas kesihatan tiba. Mangsa lemas perlu diperiksa oleh doktor walaupun telah sedar dan bernafas sendiri. Ini kerana mangsa lemas boleh mengalami beberapa komplikasi. Pemeriksaan lanjut diperlukan.
 
Oleh:
Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

No comments:

Post a Comment