Sunday 29 January 2023

MENGAPA PLASTIK BIRU DIGUNA BALUT BUAH

 
Kalau buah mula membesar, elok ia dibalut bagi memastikan tumbesaran dan seterusnya matang dengan baik. Membalut buah boleh menggunakan plastik atau kertas yang bersesuaian.

Kebanyakan petani menggunakan plastik biru untuk membalut buah. Tidak ada kajian atau fakta khusus mengapa pilih plastik berwarna biru.
 
Ada juga mengatakan warna biru ada beberapa kelebihan:
- Warna biru dapat sesuaikan kadar penyerapan haba
- Warna kulit buah mendapat kehijauan atau warna buah matang elok
- Plastik warna biru tidak menarik perosak buah
- Plastik warna biru mudah dilihat dari jauh
- Plastik warna biru senang dibeli dari kedai pertanian

Mengapa buah perlu dibalut? Sebabnya untuk mengelak buah diserang lalat buah yang akan menyebabkan buah rosak. Sering sekali ditemukan kes di mana buah yang nampak matang dan segar, tetapi ada ulat di dalamnya.
 
Ulat tersebut berasal dari lalat buah yang hinggap pada buah hanya untuk menusukkan dan menyimpan telur-telurnya di dalam buah tersebut. Maka dari itu, membalut buah merupakan salah satu cara yang dapat dilakukan untuk mengendalikan serangan lalat buah.
 
Selain itu, membalut buah dapat melindunginya daripada ancaman lain, termasuk terkena pancaran terus matahari yang menyebabkan warna tidak sekata dan kepanasan melampau yang boleh menyebabkan tumbesar buah terbantut.
 
Serangan lalat buah yang kritikal boleh menyebabkan buah rosak sebelum matang atau sebelum dipetik. 
 
Kalaupun sempat matang, kualiti buah terjejas dan hanya sebahagian buah boleh dimakan. Buah sedemikian tidak lagi sesuai untuk dijual.
 
Hasil pendapatan petani turut terjejas disebabkan kualiti buah rosak akibat diserang lalat buah kerana lambat dibalut.
 
Antara buah yang perlu dibalut ialah mangga, belimbing besi, jambu air dan jambu batu. Buah tersebut memang mudah terdedah kepada serangan lalat buah jika tidak dibalut.
 
Biarpun penggunaan racun serangga boleh digunakan untuk membunuh atau menghalang kedatangan lalat buah, namun keberkesannnya agak terhad dan boleh mendatangkan mudarat. 
 
Membalut buah dapat mengurangkan penggunaan bahan kimia daripada mencemarkan alam sekitar selain mengurangkan kesan sampingan kepada pengguna.
 
Maka, cara terbaik untuk mengatasi masalah lalat buah ialah dengan membalut buah berkenaan. Pembalut yang digunakan sama ada plastik sepenuhnya atau kertas separa plastik.
 
Proses membalut buah di pokok rendah atau dahan yang merendang tidak mendatangkan masalah. Namun, kerja-kerja itu agak sukar jika buah berada di tempat tinggi. Penanam perlu memanjat pokok berkenaan atau menggunakan tangga.
 
Untuk memudahkan kerja-kerja membalut buah, Jabatan Pertanian telah mencipta alat pembalut buah mangga bergalah bagi memudahkan pengusaha ladang atau petani mengeluarkan hasil berkualiti.
 
Alat pembalut buah itu boleh dilaraskan mengikut ketinggian dikehendaki pada paras 1.5 hingga lima meter.
 
Alat berkenaan mudah digunakan, murah, berkesan dan tidak memerlukan kos penyelenggaraan tinggi serta dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.
 
Inovasi ini meningkatkan keupayaan kerja membalut buah mangga pada pokok tinggi sehingga 90 peratus.
 
Ia memudahkan kerja membalut mangga pada pokok yang tinggi tanpa menggunakan tangga serta mudah dibawa ke ladang, meningkatkan kualiti hasil, sekali gus menambah pendapatan petani dan pengusaha sehingga 80 peratus.
 
Komponen utama alat ini iaitu paip polivinil klorida (PVC), besi, galah aluminium, surat khabar lama dan nilon.

Alat ini boleh dibeli di kedai menjual input pertanian

No comments:

Post a Comment