Membaca satu proses menuntut ilmu, sedangkan menuntut ilmu wajib dilakukan
setiap muslim. Ilmu menjadi penunjuk jalan ke arah mencapai kesempurnaan
hidup di dunia dan akhirat. Sesiapa mencari ilmu mendapat keuntungan yang
banyak berbanding orang tidak berilmu.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Kelebihan orang berilmu ke atas
orang yang beribadat adalah seperti kelebihan bulan ke atas seluruh bintang dan
sesungguhnya nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, tetap mereka itu
mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya, dia mengambilnya dengan
mendapat habuan yang banyak." (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Ahli hadis mentafsir kelebihan orang alim yang beramal dengan ilmunya
dengan orang beramal tanpa ilmu adalah seperti kelebihan bulan dengan bintang
di langit, yakni apabila muncul bulan pernama, maka cahaya bintang lain akan
hilang dan lenyap.
Justeru, kita perlu menjadikan membaca sebagai
amalan seharian untuk menjadi masyarakat yang berilmu pengetahuan. Rakyat
di negara maju menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya wajib.
Sesungguhnya, era kegemilangan umat Islam pada masa dulu berpunca penemuan
dan penyebaran ilmu. Kemampuan umat Islam pada waktu itu dikagumi dan
dihormati masyarakat seluruh dunia.
Sarjana Islam silam telah menyumbangkan kepakaran untuk kesejahteraan hidup
manusia yang digunakan sehingga kini.
Umat Islam perlu bergerak seiring dengan kemajuan dan perubahan
dunia. Tumpuan yang perlu diberikan sekarang ialah penguasaan ilmu dalam
semua bidang.
Sesungguhnya amat besar pahala bagi mereka berusaha mencari ilmu sehingga
Allah SWT mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang menjalani jalan
mencari ilmu, maka Allah memudahkan baginya jalan ke syurga, dan sesungguhnya
malaikat meletakkan sayap-sayapnya bagi penutut ilmu reda dengan apa yang
dilakukannya, dan sesungguhnya orang berilmu itu mereka yang di langit dan di
bumi akan meminta ampun baginya hingga ikan di air. (Hadis riwayat Abu
Daud dan Tirmizi).
Proses mencari ilmu melalui pembacaan dapat dilakukan dengan mudah
bila-bila masa dan di mana saja. Memiliki buku bermakna sentiasa bersama
sahabat yang bersedia mencurah ilmu. Mereka yang menolak buku daripada
menjadi kawan sebenarnya menolak 'kekayaan' yang ingin diberikan oleh buku.
Allah SWT menyuruh Rasulullah SAW
'membaca' biarpun baginda sebenarnya tidak boleh membaca. Perintah itu
adalah simbolik untuk menyatakan betapa pentingnya membaca untuk mendapatkan
ilmu.
Firman Allah SWT bermaksud: “Bacalah atas nama
Tuhanmu yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu
Maha Pemurah yang telah mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum
ketahui.” - (Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5).
Napoleon Bonarparte, pemerintah Peranchis yang menaiki takhta kuasa pada
tahun 1799 pernah berkata: “Saya lebih takut kepada empat surat khabar di
Peranchis daripada empat ribu senjata. Apabila saya biarkan empat surat
khabar itu berleluasa, tentu hanya empat minggu sahaja saya sempat menduduki
takhta kerajaan.”
Kata-kata Napoleon itu merujuk kepada pengaruh yang dapat disebarkan
melalui bahan bacaan. Dia juga mengungkapkan kata-kata: “Sesiapa yang
membaca dan mengamalkan apa-apa yang dibacanya, akan dapat memerintah dunia.”
Kegagalan umat Islam sekarang adalah berpunca daripada kurangnya ilmu
berbanding penganut agama lain. Sebab itu, kebanyakan negara Islam mundur
dan kadar buta huruf yang tinggi.
No comments:
Post a Comment