Sunday, 15 January 2017

Ukir tatu di badan perbuatan dilaknat

Satu amalan yang semakin ditiru di kalangan remaja dan golongan tertentu ialah mengukir atau melukis tatu di bahagian badan masing-masing. Amalan itu sebenarnya ditegah dalam Islam.  

Larangan tersebut sepertimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: ”
Dilaknat wanita yang menyambung rambut dan wanita yang meminta untuk disambungkan rambutnya, wanita yang mentatu dan wanita yang meminta untuk ditatu”  

Menurut Imam an-Nawawi bahawa tatu itu ialah mencucukkan jarum atau sebagainya di belakang telapak tangan, pergelangan tangan, bibir atau selainnya di tubuh badan sehingga darah mengalir. Kemudian diisi tempat itu dengan celak atau kapur tohor (kapur hidup) sehingga menjadi hijau.

Antara sebab orang bertatu ialah untuk menarik perhatian orang lain, kecantikan dan tujuan ritual keagamaan dengan melukis gambar tertentu sebagai lambang.

Selain itu, tatu juga menjadi pengenalan kepada geng kongsi gelap, pengikut amalan tertentu dan pembenteng diri. Tatu juga dikaitkan dengan amalan untuk menyembuhan penyakit dan kekuatan diri.

Tatu sebenarnya memberi kesan buruk kepada kesihatan orang bertatu. Contohnya ia menyebabkan alahan pada jenis pigmen atau pewarna yang digunakan. Simptom seperti bengkak dan gatal-gatal pada bahagian yang mempunyai kesan merah akibat mentatu.

Perbuatan itu juga boleh menyebabkan jangkitan penyakit seperti Hepetitis B, jangkitan HIV dan Hepatitis C boleh berjangkit sekiranya jarum yang tercemar digunakan.

Diriwayatkan daripada Abdullah: “Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu, perempuan-perempuan yang meminta dirinya untuk ditatu, perempuan-perempuan yang meminta bulu keningnya dibuang dan perempuan-perempuan yang mengikir giginya, (semua ini semata-mata) untuk kecantikan iaitu perempuan-perempuan yang mengubah ciptaan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Larangan bertatu itu tidaklah terbatas kepada perempuan sahaja bahkan kepada lelaki juga. Adapun jika kanak-kanak atau orang gila dibuatkan tatu kepada mereka, maka orang itu akan menanggung dosa perbuatannya, sementara kanak-kanak atau orang gila tersebut tidaklah berdosa disebabkan belum ada taklif (kewajipan mentaati suruhan dan larangan agama) ke atas mereka.

Sesiapa yang telah terlanjur mentatu dirinya maka wajib baginya menghilangkan tatu itu.

Bagaimanapun, jika usaha untuk menghilangkan tatu itu boleh mendatangkan mudarat atau kesakitan yang mana orang bertatu itu merasakan dirinya tidak dapat menanggung kemudaratan itu, maka tidak wajib baginya menghilangkan tatu itu. 

Jika dia merasakan mampu menghadapi kesakitan itu dan tidak mendatangkan bahaya berkekalan, maka wajib baginya melakukan apa-apa jua usaha untuk menghilangkan tatu itu. Ini kerana tatu yang ada di badan akan menyebabkan bahagian itu tidak sampai air ke bahagian berkenaan.  

Jadi, jika ia sebahagian daripada bahagian yang perlu dibasuh atau bahagian wudud, maka wudud itu tidak sah dan menyebabkan sembahyang tidak sah. Begitu juga bahagian lain yang perlu dibuang tatu kerana semua bahagian badan perlu dikenakan air ketika mandi wajib. Maka itu, semua tatu sebenarnya perlu dibuang.

Namun, seperti telah dijelaskan tadi, jika orang ditatu itu merasakan tidak ‘mampu’ untuk membuang tatu itu, maka tidak wajib baginya membuang tatu itu. Segala hal berkaitan dengan tatu itu boleh dianggap seperti tatu itu tidak ada lagi. Contohnya, sah ambil wudud dan mandi wajib biarpun di bahagian badan ada tatu. Maka, segala ibadat yang berkaitan juga adalah sah.

Aspek sanggup menanggung kesakitan dan mudarat diberi perhatian kerana usaha membuang tatu dianggap perkara mudah dan memerlukan perbelajaan besar untuk melakukan pembedahan. Dalam hal ini sudah memadai dia memohon ampun dan bertaubat. 

Antara kaedah moden menghilang tatu ialah menggunakan laser yang boleh menghuraikan pewarna kepada partikel-partikel kecil yang boleh dicerna oleh kulit. Kaedah lain ialah excision melibatkan pemotongan bahagian kulit yang mempunyai tatu. 

Manakala kaedah salabrasion yang menggunakan air garam untuk disapukan ke atas tatu bagi merosakkan kulit. Satu lagi kaedah biasa digunakan ialah menggunakan Silver Nitrate yang dimasukkan asid dan nitrat tersebut ke bawah kulit, sebagaimana tatu dihasilkan.

Seharusnya kita tidak terpengaruh mengikut amalan mereka yang tidak ada peraturan agama dalam hidupnya. Islam agama yang indah dan menjaga setiap tindakan umatnya agar tidak mendatangkan keburukan.

1 comment:

  1. Thanks for sharing the info regarding best way to remove tattoo. If you wish to have laser tattoo removal service, kindly contact Ava Clinic in Malaysia.

    ReplyDelete