Memandangkan konsep menyampaikan dakwah amat luas, maka setiap muslim perlu
mempunyai semangat ingin menyampaikan dakwah dalam apa bentuk yang mampu
dilakukan olehnya.
Melakukan perkara yang baik dengan niat dicontohi orang lain juga satu
usaha dakwah. Dengan kata lain dua kebaikan diperoleh serentak iaitu mendapat
kebaikan dan dakwah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa menyeru manusia kepada sesuatu
kebaikan, dia akan beroleh pahala sebanyak pahala orang yang mengikutnya dan
berkekalan selagi orang itu terus melakukan perkara kebaikan itu.” (Hadis
riwayat Muslim)
Jika tidak mampu melakukan dakwah secara nyata (perbuatan, lisan, tulisan),
selemah-lemah dakwah yang boleh dilakukan melalui hati.
Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Barang siapa di
antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mengubahnya dengan
tangannya, jika tidak mampu (berbuat demikian) hendaklah mengubahnya dengan
lidahnya, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan hatinya dan yang
demikian itu adalah iman yang paling rendah.”
Melakukan kebaikan semata-mata masih belum cukup untuk meletakkan seseorang
muslim itu dianggap manusia beruntung selagi dia tidak melakukan amalan saling
menasihati antara satu sama lain (dakwah).
Sebenarnya, menjalankan tugas dakwah mengajak orang lain melakukan kebaikan
mengingatkan agar diri sendiri melakukan apa yang diserukan kepada orang lain.
Cara ini memberi kekuatan untuk meletakkan diri lebih baik daripada orang yang
didakwah itu.
Firman Allah bermaksud: “Maka serulah mereka dan tetapkan pendirian
sebagaimana kamu diperintahkan.” (Surah al-Hajj, ayat 67)
Perkara ini bertepatan dengan konsep yang mana seorang pendakwah
sebenarnya contoh kepada orang yang didakwah.
Justeru, sebelum menyeru orang lain melakukan perkara yang diserukan itu, orang itu sendiri perlu memastikan dirinya telah terlebih dulu melakukannya atau menunjukkan yang baik.
Justeru, sebelum menyeru orang lain melakukan perkara yang diserukan itu, orang itu sendiri perlu memastikan dirinya telah terlebih dulu melakukannya atau menunjukkan yang baik.
No comments:
Post a Comment