Amalan nasihat menasihati adalah salah satu
cara memperkuatkan persaudaraan Islam. Malangnya ada pihak yang menganggap
sebaliknya, berpunca kurang penghayatan ajaran Islam.
Pentingnya amalan nasihat menasihati
dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu
puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang
baik serta melarang daripada segala yang buruk, dan mereka yang bersifat
demikian ialah orang yang berjaya.” - (Surah Ali Imran, ayat 103).
Tentulah amat menyedihkan jika ada ulama dan
berkuasa yang melenting jika ditegur. Sikap angkuh dan bermegah dengan
kedudukan mendorong sikap sedemikian. Golongan ini merasa diri mereka terlalu
mulia, tambah-tambah lagi ramai pengikut setia yang taksub membabi buta
mengiyakan setiap apa yang dikatakan atau dilakukan.
Sesungguhnya orang yang ditegur harus
mengucap syukur dan berterima kasih kerana dia dicegah daripada terus melakukan
perbuatan salah. Malah, jika dirasakan tidak mampu terus menjadi pemimpin, dia
akan meletak jawatan dan memberi peluang kepada orang lebih layak.
Islam bukan sekadar dipercayai, tetapi lebih
penting ialah dihayati dan diamalkan. Islam adalah nasihat dan pedoman untuk
semua.
Rasulullah pernah bersabda bermaksud: “Agama
itu nasihat.” Lantas para sahabat bertanya: “Untuk siapa?” Lalu Rasulullah
meneruskan sabda: “Untuk Allah, untuk kitab-Nya, untuk rasul-Nya, untuk
pemimpin orang Islam dan untuk umat Islam semuanya.” - (Hadis riwayat Muslim).
Daripada pengertian hadis itu, nasihat bagi
Allah bermaksud beriman kepada Allah dan mengagungkan kebesaran-Nya. Nasihat
bagi kitab-Nya pula menyuruh agar menjadikannya pedoman hidup. Manakala nasihat
bagi pemimpin pula bermaksud menjadikan pemimpin sebagai tempat meminta
nasihat, bantuan dan segala mendatangkan kebaikan.
No comments:
Post a Comment