Mereka yang melakukan ibadat korban disunatkan agar menyembelih
binatang korban itu sendiri sepertimana dilakukan oleh Rasulullah.
Jika tidak mampu, maka saksilah upacara korban itu sendiri.
Menyaksikan sendiri ibadat korban mempunyai hikmahnya, iaitu ketika darah mula
mengalir ke bumi, ketika itulah Allah megampuni dosa-dosa yang lalu daripada
orang yang melakukan ibadat korban itu.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wahai Fatimah! Berdirilah
di sisi korbanmu dan saksilah, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu
pengampun bagimu atas dosa-dosamu yang lalu.” (Hadis riwayat Bazzar dan Ibnu
Hibban).
Di sebalik ibadat korban bukan setakat menyembelih seekor haiwan
tertentu, adalah sebenarnya satu latihan agar manusia sentiasa bersedia untuk
berkorban jiwa dan tenaga demi menegakkan dan mempertahankan agama Islam.
Daging korban boleh dimakan oleh orang yang melakukan ibadat
korban dan ahli keluarganya, dalam kuantiti yang tidak melebihi satu pertiga.
Daging korban juga boleh diagihkan kepada orang yang berada, tidak tertentu
hanya kepada golongan fakir dan miskin sepertimana agihan zakat.
Lebih afdal jika daging mantah diagihkan. Ini memberi peluang
penerimanya memilih sendiri cara masakan yang disukai. Bagaimanapun tidak
ditegah daging korban dimasak dan kemudian diberi makan kepada orang ramai,
termasuk dalam bentuk majlis jamuan.
Kebenaran ini mempunyai maksud yang tersendiri, antara lainnya
membezakan ibadat korban dengan zakat. Sekiranya syarat agihan daging
korban sama seperti zakat, maka daging itu tidak boleh dimakan oleh orang
melaksanakan ibadat korban.
Bagaimanapun, orang bernazar melakukan ibadat korban tidak
dibolehkan memakan sedikit pun daripada daging korbannya.
No comments:
Post a Comment