Sumbang mahram adalah kesalahan
jenayah di bawah Seksyen 376A. Peruntukan ini dimasukan ke dalam Kanun
Keseksaan pada tahun 2001.
Dalam seksyen ini sumbang
mahram bermaksud seseorang yang mengadakan hubungan seks dengan individu lain
yang mana individu itu tidak dibenarkan berkahwin dengannya mengikut
undang-undang, agama, adat dan kebiasaan.
Menurut Seksyen 376B, jika
sabit, hukuman bagi sumbang mahram adalah tidak kurang dari enam tahun penjara
dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.
Menurut Seksyen 376B (2) pihak
yang dituduh boleh membawa hujah membela diri bahawa dia tidak tahu bahawa orang
yang dia mengadakan hubungan seks itu adalah orang yang dilarang berkahwin atau
hubungan seks itu dilakukan ke atasnya tanpa kerelaan.
Kanun Keseksaan di bawah
Seksyen 376A menghukum kedua-dua pihak lelaki dan perempuan yang melakukan
sumbang mahram.
Namun, jika kedua-duanya tidak
mengetahui bahawa mereka adalah adik beradik atau anak dan bapa atau anak
dengan bapa tiri atau anak saudara dengan bapa saudara, maka tidak boleh
dijatuhkan hukuman di bawah peruntukan itu.
Selain daripada peruntukan di
bawah Kanun Keseksaan, yang merupakan undang-undang Persekutuan yang terpakai
di seluruh negara tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan serta pemastautin,
di setiap negeri juga ada undang-undang Islam mengenai sumbang mahram.
Sebagai contoh, seksyen 22,
Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 memperuntukan: "Mana-mana
orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan
dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam
sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu."
Dari segi hukuman juga sangat
jelas. Hukuman di bawah Kanun Keseksaan lebih tinggi iaitu penjara sehingga 20
tahun sedangkan di Mahkamah Syariah hanya sehingga tiga tahun.
No comments:
Post a Comment