Friday, 1 March 2019

SIKAP BERMINDA KECIL


Kata seorang pujangga: “Orang yang berminda kecil membicarakan mengenai orang lain; orang yang berminda sederhana membicarakan mengenai peristiwa dan kejadian; dan orang yang berminda besar membicarakan mengenai idea dan keilmuan.”

Orang yang berminda kecil sebenarnya kurang menggunakan minda. Dia lebih kerap melakukan perkara rutin dan menerima apa sahaja apa yang dikatakan orang lain. Mereka tidak mahu berfikir lebih daripada itu dengan alasan tidak mahu ‘penat’ berfikir.

Biarlah orang lain fikirkan. Mereka lebih suka menjadi pak turut dan rela melepaskan peluang yang terhidang di hadapan mata.

Sikap berminda kecil menjadi punca kepada kegagalan. Mereka tidak menggunakan potensi diri yang ada pada setiap orang. Mereka tidak memahami 'modal diri' yang dimiliki untuk meraih keuntungan hidup.

Usaha yang kecil tentunya hanya memberikan hasil yang juga kecil. Malah kebanyakan usaha kecil tidak membuahkan sebarang kejayaan kerana belum melepasi takad untuk menikmati kejayaan.

Situasi itu amat merugikan kerana dengan tambahan sedikit usaha lagi akan menghasilkan kejayaan. Sebab itu kita tidak sepatutnya berhenti berusaha separuh jalan saja.

Jangan kita persia-siakan nikmat akal yang diberikan oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi amat malang apabila ada yang merosak akal dengan mengambil makanan atau sesuatu yang dilarang seperti meminum arak, mengambil dadah dan sebagainya.   

No comments:

Post a Comment