Friday 19 April 2019

LOMBONG TEMBAGA MAMUT RANAU

Malaysia pernah memiliki lombong tembaga terdedah terbesar di dunia, iaitu Lombong Tembaga Mamut (MCM - Mamut Cooper Mining) terletak di lereng Gunung Kinabalu, Ranau, Sabah.

Sejarah pembangunan lombong Mamut dimulakan dengan mengguna dana khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) oleh pasukan penerokaan pada Disember 1963 hingga ke 1965. 
 
Hasil kajian PBB mendapati nilai-nilai tembaga yang tinggi termasuk logam logam lain di dalam tanah, sedimen sungai dan air sungai Mamut, Bambangan dan Lohan.

Tawaran tender melambong menarik minat syarikat dari luar negara. Tender itu dimenangi oleh syarikat dari Jepun.

Pada masa penerokaan pada kedalaman 15,620, didapati rizab bijih mineral dianggarkan 100 juta tan. Hampir 80% adalah tembaga bergred tinggi. Yang lain adalah bijih-bijih perak dan emas.

Perlombongan bermula pada tahun 1970. Selepas 5 tahun beroperasi, pada November 1975, penghantaran sulung bijih tembaga telah diangkut ke Jeti Usukan dan seterusnya ke Jepun untuk penapisan di negara tersebut. 

Ketika operasi melombong dijalankan, satu kesan sampingan yang berlaku ialah terhasilnya air yang dicemari oleh asid yang memberi kesan bahaya kepada alam sekitar, penduduk dan ternakan.

Berlaku limpahan campuran air tembaga hingga ke kampung berdekatan dan mengalir jauh melalui sungai sehingga mendatangkan bahaya yang di luar jangkaan.

Akibat kejadian itu, pihak syarikat perlombongan terpaksa membayar pampasan yang besar kepada penduduk dan kerajaan negeri. 
 
Syarikat berdepan masalah kewangan yang serius dan atas faktor keselamatan untuk mengelak kejadian berulang, syarikat mengambil keputusan untuk menutup operasi yang sepatutnya mendatangkan keuntungan besar kepada syarikat dan negeri, selain memberi peluang pekerjaan yang bukan sedikit jumlahnya.

Bekas lombong tembaga Mamut masih kekal. Takungan air yang mengandungi asid masih lagi wujud dan tetap memberi ancaman atau berbahaya.

Dianggarkan bekas lombong tembaga Mamut menakung kira-kira 20.6 juta meter padu air yang berasid. 
 
Dinding lombong dedah itu terdiri daripada batuan jenis granit yang keras, kukuh dan tebal dan ekoran itu, sebarang kejadian gempa bumi berukuran di bawah lapan pada skala Richter tidak akan memberikan sebarang impak ke atas struktur dinding lombong dedah berkenaan.

Tambahan, daya tekanan air yang ditakung dalam lombong dedah itu semakin lemah kerana paras takungan air di dalamnya itu semakin berkurangan iaitu daripada lebih 100 meter kepada hanya kira-kira 80 meter.

Bekas lombong tembaga Mamut kini menjadi destinasi mereka yang ingin menikmati suasana tasik atau danau dengan permukaan unik hasil proses perlombongan dahulu.

Namun, setelah ditinggalkan lebih 40 tahun, struktur binaan seperti tempat kediaman dan kemudahan lain semuanya telah musnah kecuali yang diperbuat daripada batu atau simen.

No comments:

Post a Comment