Sesiapa sahaja perlu lebih berhati-hati dalam
menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Elok kita berkongsi satu kisah.
Kisah ini berkenaan dengan anak murid Imam
Abu Hanifah yang amat cemerlang iaitu Imam Yaqub bin Ibrahim al-Ansari yang
mashyur dengan panggilan Abu Yusuf.
Pada suatu hari, Imam Abu Yusuf merasakan
ilmu yang dimilikinya sudah mencukupi. Sudah sampai masanya beliau keluar berhadapan
dengan masyarakat bagi menjawab persoalan-persoalan agama.
Beliau meninggalkan majlis ilmu Imam Abu
Hanifah dan membuka majlis ilmunya sendiri. Dalam majlis ilmu itu, Imam
Abu Yusuf mempersilakan setiap orang untuk menimba ilmu atau mengajukan
soalan kepadanya.
Mengetahui perkara ini, Imam Abu
Hanifah berniat untuk menyedarkan muridnya itu. Beliau mengutuskan
seseorang ke majlis Imam Abu Yusuf dengan beberapa soalan untuk
mengujinya.
Orang itu bertanya kepada Imam Abu Yusuf: “Saya
menyerahkan sepotong kain ini kepada seorang penjahit untuk dijadikan baju.
Apabila saya tanyakan, penjahit itu mengingkari pernah menerima kain daripada
saya. Namun keesokannya, dia memberikan saya kain itu yang dijahit menjadi
baju. Soalan saya, apakah ia berhak menerima upah?”
Abu Yusuf menjawab: “Dia berhak menerima
upah.” Orang itu berkata: “Jawapanmu salah.” Abu Yusuf mengubah jawapannya:
“Dia tidak berhak menerima upah.” Orang itu kembali berkata: “Jawapanmu salah.”
Abu Yusuf menjadi sangat keliru. Orang yang
dilatih oleh Imam Abu Hanifah ini lalu berkata: “Jawapan yang benar adalah,
jika baju itu dijahit sebelum dia menolak untuk menerima kain, maka dia berhak
menerima upah. Namun jika kain itu dijahit setelah dia menolak untuk menerima
kain, maka dia tidak berhak.”
Orang ini terus mengajukan beberapa soalan
lain. Setiap kali Abu Yusuf menjawab, dia menyatakan bahawa jawapan itu salah
lalu mengemukakan jawapan yang tepat.
Perbincangan tersebut berjaya menyedarkan Abu
Yusuf akan kejahilan dirinya. Dirinya ternyata belum layak menjadi seorang
ulama, malah masih banyak yang perlu belajar lagi daripada gurunya.
Akhirnya, beliau memutuskan untuk kembali ke
majlis ilmu Imam Abu Hanifah untuk melanjutkan pengajiannya.
Imam Abu Yusuf menyedari kekurangannya
lalu Imam Abu Hanifah menegurnya: “Kamu telah menjadi kismis sebelum
menjadi anggur.”
Semoga kisah yang ringkas dengan makna
mendalam ini, dapat difahami oleh kita semua agar tidak tergesa-gesa untuk
menyampaikan ilmu dalam keadaan tidak betul-betul bersedia.
No comments:
Post a Comment